suria

“Tinggal RM24 Dalam Akaun, Tapi Kerana Mak...”

Paparan skrin video yang tular di media sosial mengenai kejutan seorang anak sempena hari ulang tahun ibunya. Foto Facebook Muhamad Ameen

PETALING JAYA: Kisah dua beranak tular menerusi video yang memaparkan seorang ibu sebak menerima hadiah hari lahir berupa gelang emas daripada anak lelakinya dan pasti menyentuh hati sesiapa saja yang menonton.

Siapa sangka di sebalik wajah kacak dan berbadan sasa, jejaka ini menyimpan kasih yang cukup kuat buat ibunya yang menyambut ulang tahun ke-63 pada Selasa lalu.

Beberapa kali ibunya mengalirkan air mata, dan mengesatnya dengan tudung dan lengan baju kerana sebak di atas pemberian anaknya.

Ibu yang cukup terharu dengan kejutan anaknya berkata: “Kenapa nak susah-susah belikan untuk mak ni Min. Berapa ribu ni, mak tanya. Membazir je beli ni. Mak nak anak-anak mak jangan tinggal solat saja." 

Bagaimanapun pemuda itu terus menyarungkan gelang emas pada pergelangan tangan kiri ibunya dan kemudiannya mencium wanita itu sebelum memeluk ibunya berkali-kali.

Muhamad Amin Azlan, 26, berkata, apa yang dilakukannya hanya kecil berbanding jasa dan pengorbanan ibu, Jaimah Shadan ketika membesarkan mereka empat beradik.

Pemuda kacak dan berbadan sasa ini tidak kisah dilabel sebagai 'anak emak'. Foto Facebook Muhamad Ameen

Wang boleh dicari tetapi tidak kasih ibu, dan keputusan menghadiahkan sesuatu pada hari istimewanya hanya sebahagian kecil usaha Amin untuk merapatkan hubungan mereka.

“Duit dalam akaun bank saya hanya tinggal RM24 lepas beli gelang emas untuk mak. Alhamdulillah saya boleh ‘survive’ sehingga dapat gaji sebab saya selalu masak di rumah. 

“Tapi bagi saya, pengorbanan mak tidak ternilainya untuk saya balas. Apa saya buat ni sekurang-kurangnya menggembirakan hatinya,” katanya kepada mStar Online.

Kasih ibu membawa ke syurga. 

Namun ada rahsia di sebalik hadiah gelang emas itu, Amin yang bekerja sebagai pemandu ambulans mendedahkan keluarga mereka pernah berhadapan dengan masalah kewangan pada 2013.

Mereka memerlukan sejumlah wang untuk membuat bayaran bagi urusan rumah dan ketika itu ibu mengambil keputusan untuk menggadaikan gelang emas yang merupakan hantaran perkahwinannya bagi melunaskannya.

“Saya pun baru dapat tahu perkara ini tahun lepas. Saya cuba untuk mendapatkan gelang emas milik mak semula tapi saya diberitahu ia telah dijual kepada orang lain. 

“Sedihlah juga, tapi saya cuba cari gelang emas yang hampir sama rekaan dan saiz untuk gantikan dengan yang asal. Bila tengok mak gembira masa dapat gelang tu, saya memang teruja. Pada awalnya risau juga sebab mak tak suka anak-anaknya membazir, tapi mak faham niat saya,” katanya.

Amin bertugas sebagai pemandu ambulans.

Mengenai dilabelkan segelintir netizen sebagai ‘anak emak’, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini menganggap ia sebagai satu penghormatan paling besar buat dirinya.

Menurut Amin, ramai anak muda hari ini mengambil mudah tentang perkara kecil melibatkan ibu bapa terutama dalam soal menjaga hati dan perasaan mereka.

"Ramai yang kata anak emak ni sesuai untuk perempuan saja, tapi sebenarnya tidak. Siapapun boleh jadi anak emak kalau ada perasaan untuk menyayangi emak mereka.

“Ayah dan mak saya dah tua. Kalau mereka dah tak ada, saya dah tak boleh nak buat apa-apa lagi kat mereka. Selagi mereka ada di dunia ini, saya buat apa yang boleh saya buat,” ujar Amin dengan nada sebak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain