KOTA KINABALU: Dua lagi bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui dalam keadaan tanpa gading di timur Sabah. Kedua-dua bangkai gajah itu ditemui di kawasan berasingan. Salah satu daripadanya ditemui di ladang berhampiran kawasan Dumpas pada 10 September lalu manakala satu lagi terapung dekat Sungai Kinabatangan dekat Pusat Lapangan Danau Girang beberapa hari lalu. Sumber berkata agak sukar untuk menentukan kawasan gajah itu dibunuh sebelum bangkai haiwan itu dibuang ke dalam sungai. Sabah berdepan ancaman pembunuhan haiwan itu terutamanya gajah Pygmy Borneo yang dianggarkan berjumlah sekitar 2,000 ekor yang menghuni hutan di timur Sabah. Enam gajah Pygmy Borneo dilaporkan dibunuh sejak enam bulan lalu. Jabatan Hidupan Liar Sabah berkata mereka tidak mempunyai petunjuk baharu atau suspek dikaitkan dalam kes terbaharu itu. Namun, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terlibat. Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata kematian gajah di Dumpas tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada luaran tubuh.