suria

Pelajar Kejutkan Rakan-Rakan Tentang Kebakaran

Pengarah Bomba Negeri Sembilan Norazam Khamis (kiri) dan Pegawai Siasatan Kebakaran JBPM Negeri Sembilan Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Nazri Mohd Nor memeriksa asrama pelajar wanita Sekolah Tinggi Islam As Sofa yang musnah 60 peratus dalam kebakaran awal pagi Khamis. fotoBERNAMA

REMBAU: Seorang pelajar yang menyedari terdapat percikan api menyelamatkan 36 rakannya yang lain dari kebakaran asrama pelajar perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Kampung Nerasau,  Kota di sini awal pagi, Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata perkara itu disedari Nur Athirah Izzati Shamsul Murfiz, 15, yang tersedar dari tidurnya.

"Pelajar itu tersedar dari tidur dan ternampak percikan api di bahagian siling bilik asrama dan dia segera mengejutkan rakan-rakannya yang lain supaya segera keluar menyelamatkan diri. Para pelajar yang berumur antara 13 hingga 17 tahun turut mengejutkan dua warden wanita asrama mereka.

"Kita kemudian menerima panggilan kecemasan daripada warden pada pukul 1.51 pagi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pihak bomba sempat menyelamatkan satu blok surau dan dewan di bahagian belakang asrama berkenaan.

Turut terdapat dua orang kakitangan dan dua pengawal keselamatan semasa kejadian.

Norazam berkata pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh untuk menentukan punca kebakaran termasuk memanggil unit forensik bomba dan unit anjing pengesan.

"Kita akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk aspek kecuaian, khianat, pendawaian dan sebagainya yang boleh menyebabkan punca kebakaran," katanya.

Beliau berkata kini kesemua 37 pelajar terbabit ditempatkan di STIAS, Km 35, Jalan Seremban-Tampin.Pengetua STIAS, Nor Badrulzaman Nordin berkata bangunan asrama tersebut beroperasi sejak 2014 dan menepati aspek keselamatan termasuk terdapat pintu-keluar masuk dan alat pemadam api, malah latihan kebakaran dan taklimat keselamtan sering diadakan.

"Pendawaian bangunan asrama in berada ditahap terbaik.“Kita akan berikan cuti kepada pelajar sehingga waktu yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Isu Dobi: Apa Kata Ustaz

Artikel Lain