suria

Pemandu Teksi-Uber Berbalah, Netizen Pula Kecoh

Pemandu Uber yang ditahan oleh sekumpulan pemandu teksi di Kota Kinabalu. - Facebook

PETALING JAYA: Hubungan antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing boleh diibaratkan seperti air dengan minyak dan sering menimbulkan kekecohan gara-gara pengguna kini sudah beralih kepada pengangkutan yang lebih menjimatkan.

Terbaru, video sekumpulan pemandu teksi menahan seorang pemandu Uber yang dipercayai berlaku di Kota Kinabalu, Sabah mengundang perbalahan dalam kalangan netizen di laman sosial.

Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan menggertak pemandu Uber tersebut kerana dianggap tidak wajar disamping pilihan terletak di tangan penumpang.

Bagaimanapun, ada pengguna Facebook yang beranggapan bahawa perkhidmatan e-hailing di Kota Kinabalu menyukarkan pemandu teksi untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga mereka.

Komen yang ditinggalkan oleh netizen berhubung video terbabit.

Posting yang dipetik daripada laman Facebook popular yang memberi amaran kepada pemandu teksi untuk tidak menyerang pemandu uber itu tular selepas dimuat naik pada Isnin.

Melalui video tersebut, netizen turut memuji sikap kesabaran yang dipamerkan pemandu Uber apabila diminta pemandu teksi untuk tidak lagi mengambil penumpang di kawasan tersebut.

Pemandu Uber itu juga meminta maaf berkali-kali kepada pemandu teksi yang merakam videonya kerana tidak mengetahui perbuatan itu tidak dibenarkan dan mendakwa baru kali pertama berbuat demikian.

Lelaki tersebut yang memakai kemeja-T merah dan seluar pendek turut meminta penumpang-penumpangnya untuk turun dari kereta seperti yang diarahkan oleh pemandu teksi tersebut.

Posting yang dipetik daripada sebuah laman Facebook popular yang memberi amaran kepada pemandu teksi untuk tidak menyerang pemandu uber itu tular selepas dimuat naik pada Isnin.

Pemandu teksi yang berada di tempat kejadian mendakwa bahawa Uber tidak dibenarkan beroperasi di Kota Kinabalu.

"Terima kasih la maklumat bang. Aku mintak maaf, bos (pemandu teksi) ya," ujar pemandu Uber terbabit.

Pemandu teksi berkenaan dipercayai berang kerana sudah menunggu penumpang sejak pagi, namun rezeki mereka terjejas disebabkan oleh pemandu Uber.

Tahun lalu, The Star melaporkan bahawa dua lelaki ditahan dalam operasi membanteras aktiviti pengangkutan awam haram di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, M. Chandra menegaskan bahawa biarpun pemandu Uber boleh mendaftar secara atas talian, namun perkhidmatan itu tidak dibenarkan di Sabah.

"Sebenarnya, mereka yang menawarkan khidmat Uber di sini dianggap sama seperti mereka yang membawa teksi haram," katanya.

Teksi, Uber, Kota Kinabalu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain