BINTULU: Sebelas warga Indonesia yang menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan polis daerah ini. Sembilan daripadanya adalah wanita berusia antara 18 tahun hingga 40 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 23 tahun dan 44 tahun diselamatkan disebuah rumah pada pukul 2.45 petang Isnin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pihak polis terpaksa memotong mangga yang mengunci pintu dan memecah masuk sebelum menjumpai mangsa dikurung di bilik kecil. "Sepasang suami isteri yang berada di dalam rumah itu turut ditahan. "Mereka yang masing-masing berumur 55,dan 53 tahun, dipercayai memaksa 11 warga Indonesia untuk bekerja membersihkan rumah sarang burung tanpa dibayar gaji. "Setibanya kami, mangsa menangis dan meminta pertolongan. "Mereka juga mendakwa sering dipukul dan tidak diberi cuti," katanya. Beliau berkata, kesemua warga asing terbabit dihantar ke rumah perlindungan. Pasangan terbabit telah ditahan reman sementara menunggu siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasi sebagai pemerdagangan manusia.