KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas ditikam dengan senjata tajam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, dekat sini, Ahad. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian 4.20 petang itu mangsa R.Ananth ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah oleh salah seorang anggota keluarganya. Katanya, keluarga mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada 5.15 petang Sabtu. "Sejurus tiba di hospital mangsa menerima rawatan di zon merah sebelum doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman senjata tajam di badan," katanya dalam satu kenyataan di sini. Susulan itu, polis sedang memburu anak saudara mangsa yang melarikan diri sejurus kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. - BERNAMA