suria

Mangsa Dera Pernah Mengadu Dipukul Bapa Tiri

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin (dua, kanan) menziarahi kanak-kanak berusia 10 tahun yang kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Ahad lalu. Foto: Bernama

KUANTAN: Kanak-kanak yang ditemui diikat dan dirantai pada tong gas Khamis lalu pernah beberapa kali menghubungi bapa kandungnya untuk mengadu dia dipukul bapa tirinya.

Bapa kandung mangsa yang berusia 36 yang enggan dikenali berkata sebaik dimaklumkan tentang perkara itu oleh anaknya yang berusia 10 tahun itu, dia menghubungi bekas isterinya bagi mendapat kepastian tentang perkara berkenaan.

"Apabila saya tanya dia (bekas isteri), katanya  biasalah sebab anak saya nakal sangat," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini pada Rabu.

Dia yang bekerja sebagai penyelia sebuah pusat mencuci kenderaan di Melaka Tengah berkata sebelum ini anak sulungnya yang berusia 16 tahun dan anak ketiganya yang berusia 10 tahun itu dijaga olehnya.

Namun bekas isterinya telah mengambil dua anaknya itu tanpa pengetahuannya ketika mereka ditempatkan di asrama sebuah sekolah tahfiz di Melaka tiga tahun lalu, katanya.

Bapa berkenaan melahirkan rasa syukur dan gembira kerana Mahkamah Khas Kanak-kanak telah memberikan hak penjagaan sementara ke atas anak ketiganya itu.

Dia berharap akan mendapat hak penjagaan tetap bagi membolehkannya menjaga anaknya serta dua lagi anaknya yang berusia 13 dan 16 tahun.

"Mereka ada nyatakan nak duduk bersama dan saya tiada masalah untuk menjaga, semuanya terpulang kepada mereka.

"Hari ini saya akan bawa balik anak ketiga saya terlebih dahulu ke Melaka, manakala abangnya akan menyusul selepas ini sebaik selesai peperiksaannya," katanya yang turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan dengan isteri sekarang. -Bernama

Bapa mangsa dera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain