suria

Kemalangan Maut: Kes Pemandu Treler Disebut Semula 13 November

JEMPOL: Mahkamah Majistret Bahau pada Jumaat menetapkan 13 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pemandu treler yang mengakibatkan lapan maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, 11 Jun lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan tarikh berkenaan berikutan permohonan menangguhkan prosiding oleh peguam tertuduh, D. Anuratha.

Tertuduh, Norzailan Omar, 44, dari Triang, Pahang, tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi, ditemani seorang rakannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala aspek termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas hingga berlaku kemalangan yang mengorbankan pemandu dan penumpang Proton Exora serta Perodua Myvi dalam kejadian pada 2.20 petang 11 Jun lepas.

Norzailan didakwa menyebabkan kematian Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52; Masnoraida M.Yussof, 44; Wan Mohd Muhaimin Wan Mohd Fauzi, 21; Wan Nur Athira Wan Mohd Fauzi, 18; Wan Muhammad Ammar Haziq Wan Mohd Fauzi, 13; Wan Nur Aleesya Wan Mohd Fauzi, 7; Osman Mohamed Taip, 31; dan Rosniza Othman, 32.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salwati Abdullah.

Pada 15 Jun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu atas pertuduhan tersebut. - BERNAMA

kemalangan maut, Jempol

Artikel Berikut

Anthony Dibebaskan

Artikel Lain