suria

“Ada Sebab Saya Cabut Bulu Ketiak 'Live'”

PETALING JAYA: Terkejut dan rasa malu! Itu reaksi segelintir netizen terhadap tindakan seorang wanita yang membuat demonstrasi mencabut bulu ketiak secara langsung di laman sosial sehingga ia tular.

Tindakan itu tidak disenangi kerana bagi segelintir masyarakat hari ini, bahagian ketiak masih dianggap 'sulit' walaupun apa yang ditunjukkan dalam video itu hanyalah bulu nipis.

Barangkali bulu ketiak dianggap taboo untuk dibincangkan secara umum, apatah lagi tutorial mencabut bulu itu dilakukan oleh seorang wanita, pada ketiaknya sendiri.

"Tak rasa malu tapi rasa megah diri sehinggakan cabut bulu ketiak pun ditunjukkan secara 'live'. Tak malu betul orang sekarang ni," kata seorang netizen.

"Banyak 'live' sekarang. Sampai nak cabut bulu ketiak pun kena buat tutorial secara 'live'. Kemaluan apakah ini?," kata seorang lagi netizen mengenai tindakan peniaga tersebut yang dilihat dibuat untuk mempromosikan dan melariskan produk mencabut bulu yang dijualnya.

Peniaga terbabit,  Siti Syazana Ahmad, 24 , berkata, dia telah menjual produk mencabut bulu secara separuh masa selama setahun tetapi tutorial secara langsung di Facebook atau 'FB Live' dilakukan pada akhir Ogos lalu.

"Mula-mula saya buat tutorial cabut bulu di bahagian tangan dan kaki, hanya baru-baru ni dibuat pada ketiak sebab ada permintaan. Saya bukan suka-suka cabut bulu ketiak secara 'live' tapi bersebab.

"Ada pengguna pernah mengadu produk yang digunakan kurang berkesan. Jadi saya buat 'FB live' untuk tunjuk cara yang betul menggunakan produk tersebut.

"Kalau cabut bulu di bahagian kaki, tangan, alat sulit, ketiak termasuk di bahagian muka, masing-masing ada cara dan tempoh penggunaannya berlainan," kata anak kelahiran Mentakab, Pahang ini kepada mStar Online.

Syazana yang merupakan seorang akauntan berkata, pengguna dan bakal pembeli juga boleh mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan produk, disusuli jawapan yang akan diberikannya semasa bersiaran langsung.

Sehubungan itu dia menjelaskan bahawa sesi demonstrasi itu lebih kepada mendidik pengguna dan bukannya untuk melariskan produk semata-mata.

"Bukan semua permintaan pengikut di Facebook saya layan. Ada juga permintaan untuk buat tutorial di bahagian alat sulit tapi saya tak buat. Saya hanya beritahu cara dan tempoh penggunaannya sama di bahagian lain," katanya.

Namun dia tidak menafikan sesi tutorial itu membantu meningkatkan jualannya dari hanya kurang lima botol sebelum ini kepada lebih 150 kotak sebulan.

Syazana berkata, dia menerima setiap teguran orang ramai secara positif dan selepas ini akan lebih mengambil kira sensitiviti masyarakat di negara ini.

"Selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

"Saya mempertimbangkan sama ada untuk menghentikan tutorial cabut bulu di bahagian ketiak atau menggunakan model lelaki untuk melakukannya," katanya sambil menambah model lelaki juga digunakan untuk demonstrasi mencabut bulu di bahagian badan.

cabut bulu ketiak, live tutorial

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain