SIBU: Penjual sayur, Judy Fang, menjadi pelopor di kalangan penjaja kecil di negara ini yang menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) di gerainya. Seperti penjaja lain, Fang, 55, sebelum ini melakukan urusan jual beli menggunakan duit kertas dan syiling. Namun, semua itu berubah selepas wanita itu menghadiri ceramah e-dagang oleh sebuah syarikat pada 17 September lalu. Ceramah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Toga Capital Sdn Bhd, Michael Toh yang menggalakkan peniaga menjalankan perniagaan secara eletronik. "Saya rasa senang menggunakan platform ini dalam perniagaan. Saya tak perlu sediakan duit baki untuk pelanggan. "Lagipun sekarang semua orang ada telefon pintar, jadi ia juga cara pintar untuk berniaga," kata Fang. Tambahnya lagi, sistem ini juga amat mudah kerana mereka yang terlupa membawa beg duit masih lagi membuat pembelian. Fang kini memaparkan kod T-pocket yang bercetak pada kertas di gerainya. "Untuk membuat pembayaran, mereka hanya perlu mengimbas kod itu menggunakan telefon mereka dan membuat pembayaran ke akaun T-pocket saya," ujarnya. Walaupun kebanyakan pelanggannya masih lagi membeli secara tunai, Fang optimis masyarakat akan menerima sistem ini di masa hadapan jika kerajaan memberi penekanan terhadap e-dagang. "Pembayaran eletronik masih baru tetapi saya yakin ia akan menjadi trend suatu hari nanti," tambahnya lagi. Sebagai pelopor, Fang turut berharap perniagaannya akan maju dan memberi inspirasi kepada penjaja lain untuk melakukan perkara yang sama.