suria

Bekas TKP JPJ Didenda RM2,000

Yusoff Ayob.

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob pada Isnin didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memandu di lorong kecemasan, tahun lepas.

Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusoff, 58, dan memerintahkan beliau dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Yusoff, yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)  pada 21 Julai lepas, membayar denda.

Muhammad Zaki membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan serta hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan dan peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili Yusoff yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes itu.

Dia didakwa memandu di lorong kecemasan menggunakan kenderaan bernombor BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrjaya, pada pukul 6.27 petang, 7 Oktober 2016.

Sebelum ini iaitu pada 18 Julai lepas, Yusoff didenda RM600 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Yusoff tidak hadir pada hari itu untuk merekodkan pengakuannya tetapi telah menghantar pegawai khasnya bagi mewakilinya untuk mengaku bersalah.

Pada 21 Julai Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Yusoff didakwa semula dan membuat pengakuan sendiri terhadap pertuduhan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Indera Ab Karim Ab Rahman yang menggunakan kuasa semakannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret itu juga mengetepikan hukuman denda RM600 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret tersebut.

Pada 25 Julai lepas, Yusoff  mengaku tidak bersalah, bertentangan dengan Kaedah 53(1) Kaedah Lalu lintas Jalan 1959.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 119(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu,  Baljit Singh memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas anak guamnya manakala Muhammad Izzat memohon hukuman penjara dan denda sebagai pengajaran kepada penjawat awam lain yang diberi kuasa tetapi telah melanggar undang-undang.

Baljit Singh berhujah bahawa kesalahan anak guamnya bukan kesalahan jenayah yang tertakluk di bawah Kanun Keseksaan tetapi hanya kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Selepas prosiding, ketika diminta mengulas mengenai hukuman itu, Yusoff bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen sebaliknya menyerahkan kepada peguamnya untuk memberikan kenyataan.

Baljit Singh, ketika ditanya sama ada pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret itu, beliau berkata pihaknya belum mendapat sebarang arahan daripada  anak guamnya.

Ditanya sama ada hukuman itu akan memberi sebarang kesan  kepada Yusoff dalam perkhidmatannya, katanya, ini merupakan kesalahan biasa yang dilakukan pesalah trafik.

“Kesalahan ini  bukan satu kes yang boleh didaftarkan sebagai pendaftaran jenayah,” katanya yang berada di sebelah Yusoff yang kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum itu. - BERNAMA

JPJ, denda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain