IPOH: Penyokong termasuk mereka yang terlibat secara langsung pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini tiada alasan untuk meninggalkan solat. Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh berkata, ruang solat khas disediakan di pekarangan Stadium Perak. Menurutnya, Masjid Negeri Perak dengan kerjasama Sahabat Belia Masjid Negeri, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak menyediakan kemudahan itu kepada penyokong. Katanya, sebanyak tiga tempat khas disediakan termasuk satu untuk Muslimat menunaikan solat. “Usaha ini dicetuskan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) yang juga Pengerusi Masjid Negeri kerana mahu memudahkan penyokong menunaikan solat secara berjemaah. “Alhamdulillah, kita berjaya laksanakan dengan bantuan MBI dari segi penyediaan khemah dan beberapa agensi lain dan sambutan orang ramai begitu menggalakkan,” katanya kepada Sinar Harian. Penjaga gol PerakMuhammad Hafizul Hakim berjaya menampan asakan pemain JDT pada pertemuan Perak dengan JDT perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Stadium Perak pada Ahad. - Bernama Abdul Farid turut mengimamkan solat Maghrib secara berjemaah di ruang solat khas itu, Ahad. Katanya, ruang-ruang khas solat yang disediakan itu mampu menampung 100 hingga 300 jemaah pada satu-satu masa. Selain itu, pihaknya turut menyediakan kemudahan wuduk menggunakan alat semburan air dengan dibantu 30 petugas terdiri daripada pegawai masjid. “Selain pihak MB Inc menyediakan tempat wuduk di surau bergerak, kita perkenalkan kaedah berwuduk dengan cara spray. “Kita tak nak orang tinggalkan kewajipan mereka untuk solat dengan alasan tak cukup tempat atau tak ada kemudahan. Dengan cara ini tak ada lagi alasan untuk mereka tinggalkan solat bila tengok bola,” katanya. Malah katanya, pihaknya akan menyediakan kemudahan tersebut setiap kali perlawanan khususnya yang membabitkan kehadiran penyokong yang ramai.