JOHOR BAHRU: Pencinta makanan yang mencuba kacang pool pastinya akan jatuh hati dengan hidangan itu kerana kuah rahsianya yang istimewa. Makpol Kairon yang sudah hampir tiga dekad mengusahakan restoran kacang pool berkata, dia mengubah suai resipi yang diinspirasikan dari negara Arab itu sesuai dengan selera tempatan. Menurut Makpol, 57, dia memperkenalkan hidangan itu kepada rakyat Johor 28 tahun lalu dan sudah mempunyai lima cawangan termasuk satu di Putrajaya. Kacang pool pada asalnya adalah hidangan timur tengah yang dikenali sebagai foul medammas. Katanya, perbezaan kacang pool dan foul medammas ialah dia menggunakan daging cincang kerana rakyat di negara ini menggemari daging di dalam setiap hidangan. "Makanan ini agak biasa sahaja. Bahannya adalah kacang bersama herba dan rempah ratus. Namun, saya dah ubah mengikut citarasa orang kita," ujarnya kepada The Star di restorannya di Larkin. Bahan utama kacang pool adalah kacang buncis, telur goreng, daging cincang, bawang merah dan dicicah bersama roti bakar. Harga bagi semangkuk kacang pool di restorannya hanyalah RM6. Menurut Makpol, hidangan kacang pool boleh dimakan untuk sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Tambahnya lagi, hidangan itu juga berkhasiat kerana dia tidak menggunakan sebarang garam, gula atau MSG. "Sekarang sudah ada yang meniru hidangan ini dengan memberi nama kacang pool Larkin. Namun, pelanggan tahu apa bezanya kerana saya menggunakan herba dan rempah ratus yang dibuat sendiri," katanya. Makpool yang mempunyai 10 orang anak memberitahu, antara pemimpin negara yang sudah merasai hidangannya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad badawi. "Setiap kali Najib dan Rosmah datang ke Johor Bahru, mereka pasti akan memesan kacang pool dari saya. Ini adalah satu penghargaan buat saya," ujarnya.