suria

Pesakit Dipindahkan Akibat Kebakaran Kecil Di Hospital Sibu

SIBU: Kira-kira 1,000 pesakit, kakitangan dan orang ramai yang berada di 18 wad di Hospital Sibu di sini terpaksa dipindahkan ke tempat selamat apabila asap dikesan keluar dari siling tandas Wad 23 hospital tersebut pagi Sabtu.

Kebakaran kecil yang dipercayai berpunca dari litar pintas itu dikesan oleh beberapa jururawat di wad tersebut pada kira-kira 8 pagi sebelum membunyikan penggera kebakaran dan memulakan proses pemindahan pesakit.

Pemangku Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Wan Kamarudin Wan Ahmad yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira 8.19 pagi dan menggerakkan dua jentera masing-masing dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu ke hospital itu.

Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian, semua pesakit telah selesai dipindahkan oleh pihak hospital ke tiga tempat perhimpunan selamat.

“Apa yang kita lakukan ialah mengesan punca kebakaran dan memadamkannya dengan menggunakan hos pemadam api di dalam bangunan hospital,” katanya.

Pesakit-pesakit dan jururawat yang bertugas di wad lain dibenarkan kembali semula ke wad masing-masing sekitar 10 pagi manakala pesakit dan jururawat di Wad 23 setengah jam kemudian.

Wan Kamarudin berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian berkenaan dan punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Beliau memuji tahap kesiapsiagaantinggi yang ditunjukkan oleh pihak Hospital Sibu membolehkan mereka bertindak dengan cepat dan selamat di dalam menghadapi situasi kebakaran itu.

“Pihak Hospital Sibu memang kerap mengadakan latihan kebakaran untuk kakitangan. Sepanjang tahun ini sudah dua kali diadakan dan difahamkan pada 25 November ini satu lagi latihan yang sama akan diadakan,” katanya. - BERNAMA

kebakaran, Hospital Sibu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain