suria

Kereta Penuh Tompok, Caprice Tahan Bengang!

Caprice mendakwa kos untuk mengecat semula kereta kesayangannya menelan belanja lebih kurang RM5,000. -fotoCaprice

PETALING JAYA: Siapa tidak melenting jika kereta kesayangan nampak 'cacat' gara-gara kecuaian pihak lain selain perlu menanggung kerugian beribu-ribu ringgit.

Lebih mengecewakan apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab didakwa 'lepas tangan' dan tidak mahu bertanggungjawab membayar ganti rugi yang sewajarnya kepada pemilik kereta berkenaan.

Baru-baru ini, kereta mewah jenis Dodge Challenger milik penyanyi rap Ariz Ramli atau Caprice dipenuhi tompok cat kekal yang digunakan untuk mengecat dinding bangunan ketika kerja-kerja penyelenggaran dilakukan di tempat letak kereta kediamannya.

"Saya hanya menyedari mengenai perkara itu keesokan harinya iaitu pada pagi Sabtu. Pihak kontraktor sepatutnya menutup keseluruhan permukaan kereta yang terdapat di tempat letak kereta tersebut sebelum mula mengecat.

"Pihak peguam saya telah mencadangkan untuk menyaman pihak pengurusan kondominium, tapi pihak pengurusan meminta saya menyaman kontraktor tersebut pula," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Keadaan kereta Dodge Challenger milik Caprice yang dipenuhi dengan tompokan cat kekal berwarna putih. 

Kos kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pelantun lagu 'Korang Tak Boleh Blah' itu adalah sekitar RM5,000.

Kereta jenis Dodge Challenger yang pernah digunakan dalam filem francais Fast & Furious itu dianggarkan bernilai lebih RM500,000 seunit.

Kata Caprice, kedua-dua pihak terbabit enggan bertanggungjawab di atas kecuaian mereka dan dia terpaksa melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

"Saya akan ambil tindakan undang-undang jika mereka terus lepas tangan.

"Perkara ini boleh dielakkan jika mereka melakukan kerja mengecat semula bangunan mengikut kaedah yang betul.

Kereta pemilik lain mula dilindungi dengan penutup kereta pada Ahad selepas Caprice memuat naik mengenai perkara itu di Instagram.

Caprice turut memuat naik beberapa gambar dan rakaman video berhubung kejadian itu melalui Insta Story di Instagram miliknya pada Sabtu.

Ketika ditanya mengenai reaksi dan wajahnya yang nampak tenang selepas insiden tersebut berlaku, pengasas aplikasi bacaan ayat suci al-Quran, Mengaji.com itu berkata, dia sering menggalakkan pengikutnya untuk menyebarkan aura positif apabila ditimpa ujian.

"Saya memang marah tapi semua ini pasti ada hikmah. Ramai juga yang bertanya kenapa saya masih boleh bertenang kerana tompokan cat itu meliputi hampir seluruh kereta saya.

"Benda sudah berlaku tetapi bersyukur juga perkara ini berlaku kepada saya, kalau jadi pada orang lain mungkin suara mereka tidak didengari," ujarnya.

Sejurus insiden itu kecoh di media sosial, pihak kontraktor terbabit terus bertindak memasang jaring dan penutup kereta bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Caprice

Artikel Sebelum

Harga Petrol, Diesel Turun

Artikel Berikut

Artikel Lain