suria

Nyaris Maut Dihempap Pokok

Suhaibah (tengah) bersama anaknya, Nor Shazrina (kanan) dan pekerjanya menunjukkan bahagian pangkal pokok yang tumbang dan menghempap bahagian dapur kedai makannya. - Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja berusia 14 tahun nyaris maut dihempap pokok yang tiba-tiba tumbang kira-kira pukul 11 pagi Ahad ketika membantu ibunya berniaga kedai makan.

Mangsa, Nor Shazrina Fauzi berada di bahagian dapur kedai makan untuk membancuh air sebelum tiba-tiba mendengar ibunya, Suhaibah Rashid, 42 menjerit meminta dia segera melarikan diri.

"Kejadian berlaku begitu pantas, ketika itu saya berada di bahagian dapur kedai, angin agak kuat berserta hujan. Mujurlah saya dapat dengar suara mak saya menjerit menyuruh saya lari keluar dari kedai," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang juga pengusaha Kedai Makan Cek Bah, Suhaibah berkata, dia bersyukur kerana kejadian yang berlaku itu tidak meragut nyawa anaknya termasuk tiga pekerjanya dan tiga pelanggan.

Katanya, dia masih trauma dengan kejadian itu kerana pokok itu nampak kukuh dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk tumbang sejak dia berniaga di situ tujuh bulan lalu.

Antara kerosakan yang dialami kedai makan Cek Bah, di sini selepas ditimpa pokok yang tumbang dalam kejadian jam 11 pagi Ahad.

"Sebelum kejadian, saya ada dengar bunyi pelik. Prak...prak...prakkk.. Sekejap sahaja pokok tu tumbang, mujur anak saya sempat melarikan diri.

“Tak sangka pula pokok yang berfungsi untuk menjadi tempat berteduh di kedai makan ini sejak sekian lama akan tumbang dan patah pada bahagian pangkal,” katanya.

Antara kerosakan yang dialami kedai makan Cek Bah.

Pemilik premis, Rosmawati Embong, 43, berkata, sebelum ini dia pernah terfikir untuk membuat aduan pada Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) supaya memotong pokok itu namun tidak sempat berbuat demikian.

“Sebelum ini ada terfikir nak minta pihak bandar raya potong sahaja pokok ini kerana nampak semakin tua, tak sangka pula pokok ini tumbang kerana sejak tujuh tahun saya penyewa tapak di sini, tidak pernah dahan pokok runtuh.

“Saya ingat ia mampu bertahan, tak sangka pula akan tumbang,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kerosakan teruk pada sebahagian besar premis berkeluasan lebih 20 kaki itu dengan kerugian kira-kira RM20,000.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, sebanyak 12 aduan diterima semalam melibatkan kes pokok tumbang di daerah ini.

“Antara aduan diterima melibatkan kejadian pokok tumbang di flat bukit kecil, depan SK Paloh, Jalan Kemajuan, Taman Alamanda, dekat SK Rengas Bekah, tepi dan depan Istana Badariah, Taman Seri Intan, tapak pasar malam Pulau Duyong, tepi SMA Khairiah, Ladang Hospital dan jalan Kondo Rakyat, Kuala Ibai.

“Bagi kes di Ladang Hospital dan di lokasi lain yang terlibat, pihak MBKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengambil tindakan dan sedang berusaha menjalankan kerja-kerja mengalih pokok tumbang supaya tidak menghalang laluan dan menyukarkan pergerakan orang ramai,” katanya. - Sinar Harian

pokok tumbang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain