suria

“Telefon Mahal Tapi Tak Berbudi Bahasa”

Abd Jalil merupakan bekas kakitangan sebuah bank dan kini bergelar seorang jurugambar sepenuh masa. - Facebook/Abdul Jalil

PETALING JAYA: Majlis resepsi perkahwinan merupakan acara kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh pasangan mempelai selepas selamat diijab kabul sebagai suami isteri.

Bagi mendapatkan majlis yang sempurna, rata-rata pasangan sanggup melabur untuk melantik jurugambar rasmi bagi mengabadikan kenangan terindah dalam hidup mereka.

Selain pengantin, para tetamu juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan detik bermakna itu bersama pasangan yang diraikan.

Namun, baru-baru ini, timbul cerita kurang enak tentang adab seorang tetamu yang memberi 'amaran' kepada seorang jurugambar perkahwinan berpengalaman agar berhati-hati memegang telefon bimbitnya yang berjenama mahal.

Tetamu tersebut didakwa berbuat begitu ketika meminta Abd Jalil Shinin, 60, membantunya untuk mengambil gambar bersama pengantin.

"Asalnya saya pun sudah biasa bila ada tetamu minta tolong tangkap gambar guna telefon bimbit mereka, tak dinafikan ada juga yang kurang beradab sehingga membuatkan para jurugambar berasa hati.

"Kami bukan budak kecil untuk dipesan 'jaga telefon ini baik-baik kerana harganya mahal'. Berubah terus air muka pemuda itu bila saya beritahu tentang harga kamera DSLR saya pula," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

'Posting' Abd Jalil tular di Facebook selepas ia dimuat naik pada Ahad lalu.

Tambah jurugambar yang mempunyai pengalaman selama 35 tahun itu lagi, dia berharap golongan muda lebih bersopan santun dan menghormati peranan seorang jurugambar rasmi di majlis perkahwinan.

Posting Abd Jalil itu dipercayai tular di laman sosial sejak Ahad kerana permintaannya kepada pihak yang ingin meminta bantuan daripada jurugambar agar pandai berbudi bahasa dan ia disambut baik oleh netizen.

Sementara itu, seorang jurugambar perkahwinan popular, Yeirkif Abdullah, 29, turut mengakui dilema tersebut sering dialami setiap kali dia menyempurnakan tugas sebagai seorang jurugambar rasmi.

"Tetamu datang minta rakamkan gambar itu perkara biasa dan kami pun faham. Cuma kalau nak ambil gambar berkumpulan, cukuplah berikan satu telefon bimbit dan gambar itu masih boleh dikongsikan sesama mereka.

"Pernah juga tetamu mengarahkan kami untuk mengambil gambar mereka dengan pengantin tetapi mengikut sudut (angle) yang ditentukan oleh mereka dan tidak kurang juga pihak yang berebut spot untuk merakam gambar pengantin," katanya yang dinobatkan sebagai 20 Jurugambar Perkahwinan Melayu Terbaik 2017 oleh Jurugambar Perkahwinan Malaysia (MWP).

Bagi lelaki kelahiran Terengganu itu, dia bagaimanapun tidak mencetuskan masalah dengan kelakuan tetamu kerana mahu memastikan majlis berjalan lancar.

jurugambar perkahwinan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain