KUALA LUMPUR: Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) kini dinobatkan sebagai fakulti ke-10 terbaik di dunia sehingga mendapat pengiktirafan daripada media Amerika Syarikat iaitu US News, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu. Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata pengiktirafan itu seperti yang diumumkan US News dua hari lepas membuktikan universiti di negara ini masih mendapat tempat di mata dunia dan mampu bersaing di peringkat global. "Fakulti Kejuruteraan UM telah dinobatkan oleh US news dalam kategori universiti terulung global yang mana UM berada di tempat ke-10 sebagai universiti kejuruteraan terbaik di dunia. “Ini adalah lebih baik daripada fakulti kejuruteraan di Oxford, Cambridge dan Stamford University,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu maklum balas negara lain terhadap usaha kementerian itu dalam menghadapi revolusi perindustrian keempat. Idris berkata selain UM, universiti tempatan lain turut melakar kejayaan dan mengadakan pelbagai jaringan dengan pihak industri dari dalam dan luar negara dalam usaha melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran semasa. “Minggu lalu, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Alibaba Business School bagi menjalin kerjasama dalam pengajian bisnes. Ini menunjukkan sebuah lagi universiti kita diterima di peringkat antarabangsa,” katanya. Menjawab soalan tambahan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) mengenai kebimbangan peningkatan jumlah graduan menganggur berikutan kemudahan penggunaan teknologi, Idris berkata gabungan antara universiti dengan industri akan dapat menyelesaikan masalah pengangguran graduan di negara ini. “Sekarang ini antara universiti dan industri dah tak ada jurang lagi. Kita pergi ke industri dan bawa industri ke kampus untuk melihat kurikulum yang dilaksanakan bertepatan dengan kehendak industri dan ini dapat selesaikan masalah pengangguran,” katanya.-- Bernama