SHAH ALAM: Mayat seorang janda berusia 37 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dengan kesan lebam di mata kanan dan benjol di dahi di bawah jejantas berhadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 2, Klang pada Isnin. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata mayat warga tempatan itu ditemui oleh seorang penduduk dari kawasan Pandamaran di sini dalam keadaan terbaring sebelum memaklumkan kepada polis pada 7.41 pagi. "Berdasarkan siasatan awal, mayat ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan seluar dalam ditanggalkan sehingga di buku lali kiri mangsa. "Kami syaki mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan kepada media. Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa pernah ditahan berhubung kesalahan dadah dan dua anaknya berumur 10 dan 15 tahun kini dijaga adik kandungnya di Shah Alam. Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata polis menahan tiga lelaki berumur antara 32 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Bernama