suria

“Saya Sembunyi, Panggil Sem”

KUALA LIPIS:“Masa daftar surat beranak dulu atuk nak letak nama Nyi, tapi tak tau macam mana kakitangan Pejabat Pendaftaran daftarkan nama saya jadi Sembunyi,” jelas Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis, Sembunyi anak Jamil, tentang kisah namanya yang unik itu.

Anak kelahiran Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Selangor itu berkata, selepas terima sijil kelahiran, datuknya terus pulang ke rumah tanpa memeriksa ejaan terlebih dahulu kerana buta huruf.

“Sampai je di rumah mak dan ayah saya pun tak tengok nama kat sijil tu dan terus simpan.

“Saya membesar seperti kanak-kanak Orang Asli lain. Dalam kalangan  ahli keluarga serta penduduk kampung, saya lebih dikenali dengan panggilan Seli.

“Nama Seli tu pun saya kurang pasti macam mana boleh dapat, mungkin ahli keluarga selesa dengan nama timangan itu jadi ia menjadi kebiasaan," katanya di sini, baru-baru ini.

Sembunyi yang berketurunan Orang Asli suku Mah Meri berkata, ketika memasuki tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Sepat, guru dan kawan-kawan terus memanggilnya Seli memandangkan nama yang tertera pada buku rekod sekolah sebagai Rosli.

Tambah lelaki berusia 59 tahun ini, pendaftaran sekolah pada waktu itu tidak terlalu ketat serta tidak memerlukan salinan sijil kelahiran pada hari pendaftaran menyebabkan dia sendiri tidak tahu nama sebenarnya ialah Sembunyi.

“Saya hanya tahu nama sebenar apabila mendaftar masuk tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting yang mana ketika itu pihak sekolah meminta surat beranak masa pendaftaran.

“Sejak itu juga kawan-kawan sekolah panggil saya dengan panggilan singkat, Sem dan kekal panggilan itu hingga saya sambung persekolahan ke tingkatan enam di Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban,” katanya.

Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati, Zurinam Kangsar, 53, dari suku kaum Semai  dikurniakan tujuh cahaya mata, Mizubella, 31; Vira 29; Intan Idaryu 27; VIvi Narita, 25; Tiyata Niki, 23, Akira Inas, 19 dan Merin Dawani, 16.

Jelasnya, dia bersama isteri sepakat memberi nama yang baik serta mempunyai makna dalam bahasa Orang Asli buat anak-anak kerana percaya nama berkenaan mampu memberi aura positif kepada anak mereka.

“Masyarakat Orang Asli pada masa ini lebih cenderung mendaftarkan anak-anak mereka dengan memilih nama moden tambahan pula majoriti daripadanya telah pandai menulis dan mengeja.

“Mereka makin bijak dan terbuka untuk memberi nama yang cantik malah ada sebahagian daripadanya menamakan anak yang baharu lahir dengan nama artis tanah air,” katanya.

Bantu ubah pemikiran Orang Asli

Beliau yang memulakan tugas sebagai Pegawai Luar Tingkatan Biasa Jakoa di Pos Betau, Mukim Jelai berkata, banyak perubahan yang dapat dilihat kini khususnya melibatkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli.

Mengimbau pengalaman kerjanya, beliau pernah bertugas Jakoa Raub, Gua Musang serta ibu pejabat di Kuala Lumpur turut berkongsi pengalaman mengharungi kesusahan ketika mula-mula bertugas di Pos Betau ekoran tiada kemudahan jalan raya yang selesa.

“Ketika memulakan tugas di Pos Betau pada 1981, saya perlu jaga kebajikan 1,800 penduduk dari 200 keluarga Orang Asli. Banyak kenangan pahit manis yang terpaksa diharungi khususnya dari segi kemudahan infrastruktur.

“Kini saya berusaha pula untuk membantu meningkatkan tahap pemikiran Orang Asli dari pelbagai peringkat usia di daerah ini agar lebih maju serta mampu berfikir di luar kotak,” katanya.- Sinar Harian


Sembunyi, Jakao

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain