PETALING JAYA: Musim hujung tahun perlu diraikan dan apa kata jika anda meninjau bilik pameran kereta di seluruh negara. Dengan tawaran akhir tahun istimewa yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kereta, pembeli perlu segera menyelesaikan urusan pembelian sebelum 31 Disember. Diskaun dan rebat istimewa pada Disember layak diterima pelanggan apabila kebanyakan syarikat kereta perlu memastikan kenderaan baharu didaftarkan pada Ahad depan untuk membantu mereka mencapai sasaran jualan yang ditetapkan pada tahun 2017. Memandangkan esok (Isnin) adalah cuti Krismas, dijangkakan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan sesak pada hari berikutnya. Walaupun kenderaan boleh didaftarkan secara dalam talian dengan JPJ sepanjang minggu, cukai jalan hanya boleh diperolehi di jabatan itu pada hari bekerja. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza Corp Holdings Sdn Bhd Datuk Samson Anand George berkata tawaran istimewa ditawarkan untuk model Peugeot, Citroen dan Kia. "Cuti sekolah yang panjang pada Disember adalah satu kelebihan kerana pelanggan mempunyai masa untuk meninjau banyak bilik pameran," katanya. Beliau berkata Naza menjana peningkatan jualan sebanyak 25 peratus untuk model Kia pada Disember berbanding bulan sebelumnya, sambil menambah promosi akhir tahun juga dijangka membantu mendorong jualan untuk model Peugeot dan Citroen. Sempena ulang tahun ke-17, Honda Malaysia menawarkan pakej ganjaran bernilai antara RM4,000 dan RM15,000 untuk model kereta terpilih. Jurujual Honda, Nicholas Foong, berkata keadaan menjadi semakin sibuk menjelang akhir tahun yang semakin hampir. "Honda CRV, Civic, Jazz dan City terus menjadi model utama kami. Minat terhadap kereta-kereta ini kekal sepanjang tahun," kata Foong, yang bertugas dengan Honda Tenaga Setia Resources di Seksyen 51 di sini. Perodua juga mempunyai tawaran eksklusif untuk model Axia, Bezza dan Alza dengan rebat sehingga RM2,000. Pengarah Urusan Jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin berkata permintaan untuk Perodua Myvi yang baharu telah menandakan satu pencapaian baharu dengan lebih 20,000 unit ditempah dalam masa sebulan dari pelancarannya. "Tumpuan sekarang adalah untuk memastikan penghantaran kereta dapat dibuat dalam tempoh masa yang sesuai," katanya. Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memberi rebat sehingga RM8,000 bagi model Nissan yang terpilih pada bulan ini. Seorang pegawai syarikat berkata para pelanggan juga boleh menikmati promosi RM1 untuk pakej aksesori premium, jika mereka memilih rebat sehingga RM6,500. Beliau berkata ETCM telah bekerjasama dengan The Walt Disney Company Malaysia untuk menawarkan peluang untuk pembeli memenangi trip Star Wars: The Last Jedi ke Croatia. Promosi bulan Disember Proton menawarkan penjimatan sehingga RM8,000 untuk model terpilih manakala Volkswagen Passenger Cars Malaysia 'Volkswagen Sedanza' menawarkan rebat dan kadar faedah yang rendah sebanyak RM10,000 dan RM15,000 bagi model sedan tertentu. Pembeli juga boleh berjimat sehingga RM7,000 bagi model terpilih dengan promosi 'Bonanza RM1,000,000' Toyota Malaysia. Karnival Festival Mazda Malaysia di seluruh negara pada bulan Disember menawarkan tawaran eksklusif dan hadiah segera.