suria

Acah Ditahan Sebab Dadah, Rupa-Rupanya...

Chan Choon melamar teman wanitanya di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada Ahad.

IPOH: Sambutan ambang Hari Natal tidak mungkin dapat dilupakan oleh seorang pentadbir, Yew Kar Yee yang berusia 20 tahun selepas dia melihat teman lelakinya ditahan oleh polis bantuan kerana disyaki membawa barang terlarang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Namun, itu bukanlah sebab yang membuatkan peristiwa tersebut tidak dapat dilupakan oleh wanita berkenaan.

Dia sebenarnya berasa teruja dan lega sebaik sahaja mengetahui bahawa insiden itu dirancang oleh buah hatinya, Cheung Chan Choon, 30, yang berhasrat untuk memperisterikannya.

Pasangan itu dalam perjalanan menuju ke Singapura untuk menyambut cuti Krismas.

Gambar hiasan.

Mereka sedang duduk bersama dan menunggu untuk memasuki balai pelepasan apabila polis bantuan mendekati mereka dan memberitahu Chan Choon bahawa dia disyaki membawa barangan terlarang dan terpaksa ditahan untuk siasatan.

Kar Yee diberitahu oleh kakitangan lain untuk kekal duduk ketika dia cuba bertenang semasa menunggu Chan Choon kembali.

Tiba-tiba, muzik mula dimainkan di saat Cheung kembali, dan lebih mengelirukan apabila pemuda itu tampil dengan berpakaian uniform juruterbang sambil memegang sejambak bunga dan cincin.

Dia ditemani oleh kumpulan penghibur dan juruvideo bagi menjadikan detik bersejarah itu lebih istimewa.

Kar Yee mula menitiskan air mata ketika Chan Choon melafazkan cintanya menggunakan mikrofon dan melutut sambil melamar wanita itu.

Chan Choon berkata kepada pemberita bahawa dia menghabiskan sebanyak RM10,000 untuk menjadikan peristiwa itu sebuah realiti dan mula merancangnya sejak Jun lalu.

Ketika ditanya sama ada dia bimbang sekiranya cintanya ditolak, Chan Choon mengakui perkara itu ada terlintas di fikirannya.

"Tapi saya membuat keputusan bahawa tiada guna jika terlalu risau, saya buat sahaja apa yang saya mampu.

"Ia amat berbaloi. Saya mahu dia memiliki kenangan yang tidak boleh dilupakan untuk dikenang sepanjang hayat," kata Chan Choon sambil menambah yang dia mungkin melangsungkan perkahwinan dalam tempoh setahun.

lamaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain