suria

Aduan Mantra, Pukau 'Hantui' Polis

MELAKA: Kehidupan serba moden ketika ini bukan bermakna pasukan polis negara tidak perlu berurusan dengan sebarang aduan berkaitan ilmu hitam dan alam ghaib.

Malahan, selain memerangi jenayah dan masalah trafik serta kes komersial, pasukan keselamatan negara itu juga perlu berdepan laporan mengenai bomoh dan juga mantra.

Sumber memberitahu The Star mengenai laporan yang diterima di seluruh negara tahun lalu berkaitan kes paranormal termasuk melibatkan media sosial.

Kes berkaitan bomoh termasuk mendapatkan khidmat untuk menangani masalah kesihatan hinggalah membuang sial seseorang.

Malahan, ada juga laporan yang dibuat mendakwa rakan sekerja melakukan mantra terhadap pengadu.

Antara kes itu melibatkan lelaki berusia 51 tahun yang membuat laporan polis di Negeri Sembilan pada 19 Disember lalu mendakwa saudara perempuannya telah menggunakan ilmu hitam menyebabkan dia tidak dapat mengawal nafsunya.

Lelaki yang sama juga membuat laporan pada 31 Disember mendakwa ilmu hitam yang dikenakan terhadapnya menyebabkan nafsu syahwatnya timbul tidak kira tempat.

Selain itu, ada juga laporan di Kuala Muda, Kedah pada 24 Disember lalu di mana seorang wania berusia 39 tahun yang bekerja di kilang mendakwa menjadi mangsa ilmu hitam yang ‘dikirimkan’ menerusi media sosial.

Wanita itu juga mendakwa dia terkena buatan lelaki berusia 53 tahun sejak 2015 hingga dia terpedaya dan beberapa kali melakukan hubungan seks dengan lelaki itu.

Susulan itu, wanita berkenaan telah mendapatkan bantuan bomoh untuk menghilangkan mantra itu dan memberanikan diri untuk membuat laporan polis.

Juga ada beberapa kes melibatkan penggunaan bomoh Siam yang menuntut bayaran bagi ramalan cabutan loteri.

Pihak yang turut mengiklankan khidmatnya akan meminta bayaran deposit kononya untuk berdoa bagi memenuhi impian pelanggan.

Sebaik deposit dibayar, pihak terbabit biasanya akan menuntut bayaran kedua di mana jumlahnya mencecah ribuan ringgit.

Bagaimanapun, pelanggan yang cuba mendapatkan bayaran balik akan diugut pihak terlibat.

Selain itu, ada juga mangsa ditipu dengan membeli azimat atau barangan lain untuk menjadi kaya.

Malahan, berdasarkan kes yang ada kebanyakan mangsa ditawarkan khidmat untuk memenangi tiket loteri empat angka untuk cepat menjadi kaya.

Menurut sumber, 1,172 laporan polis telah dibuat tahun lalu berkaitan ilmu hitam dan amalan menilik ini di seluruh negara.

Tambahan 1,320 laporan lagi dibuat individu yang mendakwa dipukau sebelum barangan mereka dicuri.

Jumlah tertinggi laporan berkaitan tilikan diterima Januari tahun lalu dengan 129 laporan dan sejumlah 104 lagi pada Februari dan Mac 2017.

Selain itu, 105 kes diterima pada April, diikuti 109 kes ( Mei), 82 kes (Jun), 110 kes (Julai), 103 (Ogos), 71 kes (September), 91 kes (Oktober), 93 kes pada November dan 71 kes lagi pada Disember.

Berkaitan jumlah mangsa pukau pula, ada 103 laporan diterima pada Januari, diikuti 114 kes (Februari), 117 kes (Mac), 100 kes (April), 105 kes (Mei), 101 kes (Jun), 136 kes (Julai), 125 kes (Ogos), 92 kes (September), 96 kes (Oktober), 119 kes (November) dan 112 kes pada Disember lalu.

Difahamkan kebanyakan laporan yang diterima disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, majoriti mangsa adalah warga tua.

“Mereka begitu mudah ditipu terutama jika berdepan masalah kesihatan.

“Mereka sepatutnya mendapat rawatan kesihatan di tempat yang disediakan bukan mendapatkan bantuan bomoh yang lebih bermatlamat untuk mendapatkan habuan,” katanya sambil menambah kebanyakan kes polis tidak dapat bertindak kerana kekurangan bukti.

mantra, bomoh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut