suria

Anak Terpaksa Ambil Giliran Ponteng Sekolah

Ismail terpaksa meninggalkan empat anaknya di rumah berikutan terpaksa keluar bekerja demi kelangsungan hidup. - Sinar Online

MELAKA: Merajuk apabila ditegur menyebabkan seorang wanita menghilangkan diri meninggalkan suami dan anak-anak yang masih kecil, sejak dua minggu lalu.

Tindakan itu mengundang keresahan suaminya, Ismail Omar, 61, yang kini tinggal menyewa di sebuah bengkel sejak lima tahun lalu bersama anak-anak berusia empat hingga 10 tahun di Bukit Rambai, di sini.

Tukang membaiki badan kenderaan itu berkata, paling membimbangkan apabila terpaksa membiarkan kesemua anaknya itu di bengkel setiap kali melakukan kerja luar.

“Isteri dah keluar rumah dan tidak pulang hampir dua minggu lalu. Sekarang anak yang bersekolah terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah semata-mata nak jaga adik yang kecil di rumah ketika saya keluar mencari rezeki.

“Memang susah isteri tak ada. Isteri mungkin merajuk selepas saya tegur dia mengenai kebersihan rumah,” katanya yang sudah berkahwin dengan wanita berusia 29 tahun itu sejak berbelas tahun lalu.

Adik-beradik ini yang terpaksa tinggal bersendirian tanpa pemantauan orang dewasa.

Ismail terpaksa meninggalkan empat anaknya di rumah berikutan terpaksa keluar bekerja demi kelangsungan hidup

Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian demi mencari rezeki kerana perlu memikirkan makan minum anak-anaknya terjaga biarpun persekolahan terganggu.

Bagaimanapun, katanya, guru sekolah anaknya, Muhammad Seren, 10, Muhammad Shah, 8, dan Sarina, 7, faham dengan masalah sedang dihadapi.

"Saya tak nak nanti mereka salah anggap dan tak faham situasi ini. Mereka terpaksa bergilir ponteng sekolah untuk menjaga adik bongsu (Norsarah Ayu, 4) di rumah. Biarpun bimbang semuanya masih kecil, namun nak buat macam mana, saya terpaksa.

“Tapi Alhamdulillah, guru banyak membantu dan faham masalah kami ketika ini, mereka juga selalu datang menjenguk dan prihatin dengan beri sumbangan seperti barangan dapur,” katanya ketika ditemui, Isnin.

Keadaan bengkel yang juga dijadikan tempat berteduh ini tidak sesuai untuk anak-anak Ismail membesar.

Ismail berkata, dengan kemelut yang menimpa itu diibaratkan kesusahan berganda apabila dia turut mendakwa ditipu hampir RM2,000 oleh pelanggan yang mengelak menjelaskan bil membaiki kenderaan.

Keadaan bengkel yang juga dijadikan tempat berteduh ini tidak sesuai untuk anak-anak Ismail membesar.

“Pendapatan saya sebagai tukang baiki badan kenderaan tidak menentu setiap bulan. Ada kalanya pendapatan bersih boleh mencecah RM700 sebulan tapi kebiasaannya dalam RM500 sahaja. Pelanggan pula kerap mengelak bila masa bayaran.

"Tak apalah. Saya anggap ini dugaan untuk saya lebih dekat dengan ALLAH. Asalkan anak-anak tak putus makan saya bersyukur, biarpun hanya makan roti sekalipun,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana banyak pihak termasuk wakil rakyat kawasan dan pihak Japerun ada turun padang melihat sendiri kehidupannya dan telah mengaturkan beberapa bentuk bantuan. - Sinar Online

kemiskinan, ponteng sekolah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain