SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang dirakam mencabul seorang budak perempuan di sebuah tapak pesta direman selama tujuh hari. Suspek disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berhubung sebuah video yang tular dan menunjukkan dia mencabul seorang kanak-kanak. Melalui video yang dimuat naik di laman Facebook Durian Media, kanak-kanak itu dilihat duduk di atas peha suspek sementara suspek mencium pipi mangsa berulang kali. Suspek turut mengusap dada mangsa dengan memasukkan tangan ke dalam pakaian merah mangsa sewaktu muzik kuat dimainkan di pesta tersebut. Wajah kanak-kanak itu tidak ditutup dalam video tersebut. Suspek yang ditahan pada pukul 3.10 petang Isnin tiba di mahkamah pada pagi Selasa dengan wajah dan mata yang lebam. Bahagian kanan kepalanya turut menunjukkan sudah dicukur dan terdapat enam kesan jahitan. Sumber polis yang enggan dikenali berkata, suspek dibawa ke balai polis Kuala Muda pada tengah hari Isnin dan kelihatan seperti sudah dibelasah dengan teruk. Bagaimanapun, pihak polis belum mengenalpasti individu yang memukul suspek.