PETALING JAYA: Tiada apa yang dapat memberikan kepuasan buat seorang insan bergelar guru selain melihat anak didiknya menunjukkan keterujaan untuk menuntut ilmu. Noorjahan Sultan, 47, berkata sebagai guru bahasa Inggeris, beliau sentiasa mahu memastikan murid-muridnya meminati subjek tersebut. "Murid-murid berasa tidak sabar menunggu saya untuk belajar bahasa Inggeris. "Perasaan itulah yang memberi kepuasan kepada saya sebagai guru mata pelajaran tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu. Noorjahan Sultan Atas faktor tersebut, pendidik dari Kuantan, Pahang ini telah mengharumkan nama negara apabila berjaya menarik perhatian juri untuk dipilih memenangi anugerah PearsonELT Teacher Award untuk kategori Asia & Oceania tahun 2018. Beliau menewaskan 38 finalis dari rantau Asia & Oceania dalam anugerah ini yang bermatlamat mencari guru bahasa Inggeris terbaik melalui lima kategori. Mempunyai pengalaman mengajar selama 22 tahun, Noorjahan berkata apabila dapat menimbulkan keseronokan untuk belajar menerusi kaedah 'didikhibur', secara tidak langsung ia akan meningkatkan kemahiran murid lemah bahasa Inggeris untuk bersaing dengan murid lain. "Saya harap konsep didikhibur yang sebenar dapat diterapkan agar proses pembelajaran yang mesra dan menarik dapat diamalkan, seterusnya menjadikan pendidikan lebih bermakna kepada pelajar. "Malah saya juga mahu berkongsi kaedah mesra pelajar ini dengan semua guru di seluruh negara. "Teknik ini juga sebenarnya sudah pun dikongsi namun saya akan meluaskannya lagi kepada yang lain. "Memang impian saya untuk terus menggemilangkan sistem pendidikan dan mengharumkan nama negara," ujarnya yang kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan dari Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang. Untuk rekod, beliau merupakan pengasas modul Let's Rhyme yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dua tahun lalu, Noorjahan dinobatkan sebagai Ikon Guru Kebangsaan 2016 dan merupakan finalis Anugerah Guru Global 2016.