PETALING JAYA: Stigma masyarakat terhadap penyakit kusta masih belum banyak berubah kerana bimbang ia boleh berjangkit melalui sistem pernafasan. Namun, penyakit itu sebenarnya boleh dirawat dan para pesakit kusta tidak lagi perlu diasingkan daripada orang ramai. Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, penyakit tersebut pernah digeruni kerana boleh menyebabkan pesakit mengalami kecacatan kekal, lumpuh, kudung dan buta sekali gus mewujudkan satu stigma dalam masyarakat. Sehubungan itu, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menganjurkan program De Tour Bangkit Bersama Kaseh POKB-Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) untuk memberi peluang kepada semua penghuni di rumah komunal untuk merasai pengalaman baharu menaiki pengangkutan awam. "Ini merupakan program pertama yang dianjurkan supaya mereka dapat merasai peluang menaiki bas dan tren Transit Aliran Massa (MRT) yang mesra orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas. "Saya berharap satu hari nanti mereka juga berpeluang untuk merasai pengalaman menaiki kapal terbang pula," katanya ketika menyampaikan ucapan di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara Sabtu, sempena sambutan Hari Kusta Sedunia 2018. Khalid (tiga dari kiri barisan depan duduk) dan Sheikh Ahmad Dusuki (empat dari kiri barisan depan duduk) bergambar bersama para pesakit dan sukarelawan di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara di sini. Hari Kusta Sedunia disambut setiap tahun pada Ahad terakhir bulan Januari. Terdahulu, seramai 29 bekas pesakit kusta yang berusia antara 60 hingga 70 tahun dibawa menaiki MRT dari Stesen MRT Sungai Buloh ke Stesen MRT Pusat Bandar Damansara seawal pukul 10 pagi. Sementara itu, Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad pula berkata, program itu dianjurkan bagi mendekatkan bekas pesakit kusta dengan masyarakat luar. "Hari ini, kita dapat lihat mereka meneruskan kehidupan dengan baik selepas menerima rawatan penjagaan daripada warga kerja Hospital Sungai Buloh. "Kita hendaklah menjadikan mereka sebagai masyarakat inklusif, tiada beza dengan orang biasa," kata beliau. Tambahnya, POKB juga terbuka dengan pesakit kronik lain dan turut menjadikan wad rehabilitasi Hospital Sungai Buloh sebagai wad angkat persatuan itu. Pihaknya memberikan bantuan aset seperti pendingin hawa, katil dan sumbangan berbentuk tambang pengangkutan kepada pesakit yang kurang berkemampuan.