suria

Akta Baharu Kekang Berita Palsu Akan Diperkenalkan

Gambar hiasan.

KOTA BHARU: Penggubalan akta baharu bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial perlu segera diwujudkan, kata Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata  ini kerana berita palsu disebarkan secara berleluasa terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kalau boleh perkara ini dibawa pada sidang Parlimen Mac ini demi kepentingan umum," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Biro IT 4 Peringkat UMNO bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini, Sabtu.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Ketereh merangkap anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Ahmad berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu adalah langkah tepat dalam menangani konflik berkenaan.

Perdana menteri pada Ahad lepas berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Susulan itu, satu jawatankuasa khas telah dibentuk yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, badan bukan kerajaan dan anggota Parlimen yang bertanggungjawab mengkaji undang-undang berkaitan dan peruntukan baharu untuk dibawa kepada pertimbangan kabinet.

Menurut Ahmad, pada masa ini sebanyak 43 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit manakala 18 juta lagi memiliki akaun Facebook.Sementara itu, Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata pihak yang tidak menyokong undang-undang mencegah berita palsu adalah mereka yang menyokong penyebaran berita sedemikian di alam maya.

Katanya  undang-undang berkaitan perkara itu perlu diwujudkan bagi mengawal situasi media sosial semasa selain sebagai asas tatakelola  pentadbiran sesebuah negara."Kita tahu pembangkang tidak akan pernah setuju dengan apa-apa cadangan kita kerana mereka khuatir mereka tidak boleh menggunakan kaedah tersebut sebagai senjata terakhir sebelum pilihan raya," katanya. - Bernama

berita palsu

Artikel Lain