suria

KKM Tunggu Laporan Lengkap Kopi Pracampuran Sebelum Ambil Tindakan

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan lengkap berhubung kopi pracampuran, yang dipercayai mengandungi sejenis dadah, sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata adalah menjadi kesalahan besar jika barang terlarang dicampurkan dalam  kopi dengan pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas.

"Setakat ini, kita belum dapat laporan yang lengkap untuk kita ambil tindakan. Kita akan bandingkan sampel kopi itu dan sampel lain di kedai.

"Kalau kita dapati barangan terlarang (ada), kita akan hentikan (penjualan)...kita akan ambil tindakan tegas," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Mobile Community Transformation Centre (CTC) peringkat negeri di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran, yang diminum dua lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih yang teruk, dipercayai mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah.

Salah seorang mangsa kelihatan tidak sihat selepas mendakwa meminum sejenis kopi segera.

Anuar berkata berdasarkan ujian analisis sampel kopi oleh pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang mendapati adanya kandungan dadah namun belum dapat dipastikan jenis apa.

Sementara itu, Hilmi pula berkata buat masa ini, tiada arahan untuk menghentikan penjualan kopi pracampuran itu tetapi beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak minum kopi tersebut sementara menunggu laporan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah ketika dihubungi berkata pihaknya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis susulan kopi pracampuran itu disyaki mengandungi dadah.

"Kami dah buat laporan polis pada 1 Feb lepas sebab  kopi itu ada kandungan dadah . Sampel kopi itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk diuji dan kami masih menunggu laporan lengkap," katanya.

Seramai lima individu termasuk dua wanita mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang sejak Ahad hingga Selasa selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi.

Mereka yang berusia  19 hingga 62 tahun ditahan di wad untuk pemerhatian dan menjalani beberapa  ujian. Tiga daripada mereka sudah dibenarkan pulang selepas keadaan mereka bertambah baik. - Bernama

kopi pracampuran, KKM

Artikel Lain