suria

Sultan Ibrahim Titah Polis Tahan Mat Rempit Depan Hospital

JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka terhadap sekumpulan mat rempit yang menjadikan Jalan Pantai Lido hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai medan lumba haram.

Sultan Johor bertitah, baginda menerima banyak aduan daripada para pesakit di hospital tersebut yang mengalami masalah untuk tidur disebabkan oleh bunyi bising enjin motosikal mat rempit tersebut.

Tuanku Sultan Ibrahim menitahkan agar pihak polis mengambil tindakan segera ke atas mat rempit dan menahan mereka atas kesalahan lumba haram serta menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain.

“Berhenti dari terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah ini… fikirkan mengenai ketenteraman awam dan pesakit di hospital yang memerlukan rehat secukupnya,” titah Tuanku Sultan Johor kepada pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor.

Baginda bertitah, almarhum anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim pernah menyebut bahawa dia sukar beradu pada waktu malam semasa menerima rawatan di Wad Diraja HSA yang berpunca daripada bunyi kuat motosikal.

Tuanku Sultan Ibrahim menegaskan, keadaan sama dialami oleh menantu Baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam ketika melahirkan kedua-dua anakandanya.

“Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri tidak dapat beradu pada waktu malam disebabkan gangguan bunyi motosikal yang berlumba dari pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi.

“Saya juga mengalami pengalaman yang sama ketika menerima rawatan di Wad Diraja HSA,” titah Baginda.

Tuanku Sultan Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Lain