suria

Air Yasin Bantu Pulih Api Misteri Di Bukit Beruntung

PETALING JAYA: Kejadian aneh beberapa barang terbakar secara tiba-tiba di Rumah Teduhan Kasih, Bukit Beruntung, Selangor kini reda.

Pengarahnya, Jaafar Daud berkata, kali terakhir kejadian api misteri 'muncul' di pusat pemulihan penagih dadah itu adalah pada Rabu lalu.

“Selepas empat hari, tiada lagi kejadian aneh berlaku di kedua-dua unit kediaman dua tingkat itu. Alhamdulillah keadaan kini kembali tenang.

“Bagaimanapun, kami terus berdoa dan berharap agar kejadian seperti itu tidak lagi berlaku,” katanya kepada mStar Online, Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Baldi Berisi Air Hangus Disambar Api Misteri

Seorang kakitangan Rumah Teduhan Kasih memadamkan api yang menyambar sehelai kemeja secara tiba-tiba.

Sebelum ini, misteri kejadian yang menyaksikan pelbagai barang terbakar secara tiba-tiba di pusat pemulihan penagih dadah itu berlaku selama 11 hari berturut-turut.

Jaafar berkata, pada Rabu, lebih 10 kejadian api misteri direkodkan, tetapi kejadian paling banyak berlaku pada hari kedua dengan 23 insiden.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Pengasih Negeri Selangor memberitahu, walaupun api misteri itu sudah tiada, pihaknya terus melakukan prosedur ‘memagar’ pusat berkenaan.

“Bersama-sama penghuni, kita terus melakukan solat hajat dan bacaan Yasin setiap hari,” katanya sambil menambah amalan itu termasuk menggunakan air bacaan Yasin dan garam serta lada hitam direnjis dan ditabur di sekeliling rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tinggal Sehelai Sepinggang”

Jaafar berkata, pihaknya akan menunggu tiga hari lagi sebelum memutuskan untuk membawa semula baki 37 penghuni yang dipindahkan sementara ke Sungai Buloh ekoran kejadian misteri itu.

“Kita bagi tempoh seminggu sehingga keadaan kembali reda. Jika semuanya sudah pulih, kita akan bawa semula penghuni lain pulang ke Bukit Beruntung,” katanya. 

Antara kesan kebakaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 'Sesuatu', Darussyifa Bantu Rungkai Api Misteri

Setakat ini, sebanyak 10 pengamal perubatan dan dua pasukan pranormal tampil membantu merungkaikan kejadian misteri di pusat perlindungan itu sejak insiden pertama pada 28 Januari lalu, dengan yang terbaharu adalah Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa) yang berkunjung ke situ pada malam Selasa.

“Kami berterima kasih kepada semua yang tampil membantu. Teruskan mendoakan kesejahteraan penghuni dan pusat pemulihan ini,” ujar Jaafar. 

Selasa lalu, mStar Online melaporkan tentang api misteri di Rumah Teduhan Kasih apabila ia membakar beberapa barangan di kediaman itu termasuk menghanguskan sebuah baldi berisi air.

Baldi berkenaan diletakkan di rumah pemulihan penagih dadah itu sebagai persediaan sekiranya kejadian kebakaran berulang, dan ia merupakan kejadian pertama membabitkan baldi berisi air sejak insiden pertama api misteri berlaku.

Rumah Teduhan Kasih, api misteri

Artikel Lain