suria

Empat Beradik Jadi Tempat Lepas Geram Bapa Tiri

Gambar hiasan.

KUALA NERUS: Angkara masalah rumah tangga yang dihadapi ibu dan bapa tirinya, empat beradik di Gong Badak Badak, di sini, dipercayai sering menjadi mangsa dera termasuk dipukul menggunakan rotan oleh bapa tiri mereka itu.

Bagaimanapun perbuatan lelaki berusia 37 tahun itu terbongkar selepas isteri yang juga ibu kandung kepada empat kanak-kanak malang berkenaan bertindak menceritakan perkara itu kepada abangnya Khamis lalu.

Difahamkan sebaik sahaja mengetahui mengenai perkara itu abang wanita berkenaan yang juga bapa saudara kepada keempat-empat mangsa yang berusia lima hingga sembilan tahun segera ke rumah yang diduduki adiknya itu untuk melihat keadaan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, ketika tiba di rumah adiknya itu hanya seorang anak saudaranya yang berusia lima tahun berada di rumah, manakala tiga lagi berada di sekolah.

"Bapa saudara mangsa itu kemudian membawa anak saudaranya yang berusia lima tahun ke sekolah bagi memeriksa keadaan tiga lagi anak saudaranya tersebut.

"Setelah pemeriksaan dibuat didapati ada kesan lebam dan parut pada badan empat anak saudaranya yang masing-masing dua lelaki dan dua perempuan dipercayai akibat dipukul menggunakan rotan.

"Sejurus itu bapa saudara berkenaan membawa empat beradik itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan berikutab terdapat kesan lebam dan parut pada bahagian punggung dan kaki," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya lagi, suspek dipercayai menjadikan empat beradik itu sebagai tempat untuk melepaskan geram setiap kali bergaduh dengan isterinya.

"Wanita terbabit memaklumkan anak-anaknya dipukul menggunakan rotan dua minggu lalu namun tidak membuat laporan kerana takut selain susah untuk keluar dari rumah.

"Suspek juga dikatakan sering memukul keempat-empat mangsa setiap kali selepas bergaduh dengan isterinya.

"Selain dipukul menggunakan rotan, suspek turut memukul mangsa menggunakan selipar, tangan dan kaki sebelum laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut," katanya.

Jelasnya lagi, ketika inil usaha mengesan suspek giat dilakukan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. - Sinar Online

dera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain