PETALING JAYA: Penyanyi rap Namewee ditahan reman berhubung siasatan ke atas video kontroversi 'Like A Dog'. Status dilaman Facebooknya pada Khamis memberitahu bahawa Namewee secara rasminya telah ditahan reman. "Saya tidak takut kerana percaya Malaysia mempunyai keadilan," kata Namewee dalam catatan Facebook sebelum ini yang disertakan dengan gambarnya di Bukit Aman. Sebelum ini polis telah membuka kertas siasatan terhadap penyanyi rap Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee,34, berhubung klip videonya yang menggores sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini. Namewee ditahan pada pukul 2.45 petang Khamis. Pada Ahad lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat klip video kontroversi berkenaan. Kes disiasat mengikut Sekyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Namewee memuat naik klip video terbaharunya bersempena Tahun Baharu Cina bertajuk Like A Dog yang memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing yang didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.