suria

Kren Tumbang: "Jangan Ambil Gambar, Teruskan Perjalanan"

KUALA LUMPUR: Sikap pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk merakam gambar di tempat kejadian kren tumbang di Kilometer 25.2, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang (ProLintas) dalam satu status terkini di Facebook petang ini merayu kepada pengguna supaya memberikan kerjasama kepada petugas di tapak kejadian dan sentiasa mengutamakan keselamatan mereka.

“Semua pengguna #mrr2 diminta meneruskan perjalanan dan tidak memberhentikan kereta di bahu jalan. Tindakan ini akan menghalang kerja-kerja pengalihan kren. Utamakan keselamatan anda, berhenti merakam dan teruskan perjalanan anda,” demikian menurut status ProLintas.

Kren berkenaan tumbang di tapak  projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke)  berhampiran Dataran Ukay di laluan MRR2 dari arah Ulu Klang ke Ampang pada 9.58 pagi tadi menyebabkan ramai pengguna terkandas beberapa jam dalam kesesakan  lalu lintas yang teruk.

Suke dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), yang mula dibina tahun lepas dan dijangka siap awal 2020, bertujuan mengurangkan tempoh perjalanan dan kos pengguna jalan raya.

Suke, yang menghubungkan Sri Petaling dan Bukit Antarabangsa, dijangka mengambil masa perjalanan hanya 25 minit manakala DASH, yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dan Penchala Link di Damansara Perdana, adalah kira-kira 20 minit.

Suke akan menjadi laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di laluan berkenaan.- Bernama

MRR2, Tren Tumbang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Temui Ajal Di Mimbar Jumaat

Artikel Lain