suria

Nantikan Transformasi Segi Tiga Emas KL

SUASANA suram, ditambah dengan longgokan sampah serta kehadiran gelandangan dan penagih dadah di lorong-lorong sekitar ibu kota bakal lenyap apabila kawasan itu dihias dengan pelbagai motif berwarna-warni sebagai tarikan pelancong.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenalpasti 10 kawasan di segi tiga emas ibu negara untuk menerima transformasi berkenaan.

Antaranya ialah lorong di antara flat lama dan hotel di sekitar Bukit Bintang yang sebelum ini dipenuhi longgokan sampah.

Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai tinggal di tengah ibu kota dan juga untuk menarik kedatangan pelancong ke lokasi-lokasi  berkenaan.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, transformasi itu boleh diibaratkan seperti memberi sinaran semula kepada lokasi terbiar di ibu kota.

"Kawasan seperti ini sering dikaitkan dengan jenayah dan aktiviti mencurigakan, tapi kita mahu tukar persepsi itu.

"Bandar ini dipenuhi bangunan lama serta bangunan komersial yang baru, jadi lorong-lorong ini menjadi laluan yang menghubungkan satu kawasan ke kawasan lain," kata Mahadi.

Jelasnya, DBKL melihat potensi laluan berkenaan yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong dan kini sedang berusaha untuk menceriakan semula lokasi-lokasi itu.

Projek transformasi itu bermula pada 2015 di 20 kawasan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur khususnya di Bukit Bintang, Jalan Alor dan Tun Razak Exchange.

Persekitaran Jalan Alor yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan semula kini sedang melalui proses transformasi menerusi insiatif berkenaan.

Ia meliputi Jalan Tong Shin, Tengkat Tong Shin, Changkat Bukit Bintang, Jalan Berangan dan Jalan Alor.

Projek itu akan dilaksanakan menerusi dua fasa yang bermula dengan usaha mengecat semula bangunan lama dengan mural berwarna warni, membaiki jalan, menambah baik saluran air dan  memasang lampu jalan sepanjang tiga kilometer dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Perubahan sudah boleh mula dilihat di Jalan Alor yang mana beberapa kawasan sudahpun mengalami perubahan.

Salah satu laluan telah dicat dan dihias dengan lukisan air terjun tiga dimensi (3D).

Malah, unsur flora dan fauna seperti rama-rama turut diabadikan di dinding bangunan bagi memberi permandangan yang bersifat semula jadi dan menyegarkan.

Menurut arkitek projek DBKL, Natasha Azim Hussin, mural itu diinspirasikan daripada gambaran Jalan Alor pada 100 tahun lampau.

Namun, usaha DBKL dalam merealisasikan projek itu turut berdepan halangan apabila ia diganggu oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kami berhadapan dengan vandalisme. Ada yang datang rosakkan lukisan dan kotak-kota tumbuhan kami.

"Namun kami yakin apabila siap kelak, ia boleh menjadikan kawasan itu lebih maju," ujar Mahadi.
DBKL, Jalan Alor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain