PETALING JAYA: Semua parti komponen Pakatan Harapan akan menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, logo tersebut akan dipilih dari mana-mana empat parti komponennya, iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia. "Sama ada Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskannya atau tidak, kita akan menggunakan satu logo sebagai pengenalan pada pilihan raya umum," katanya pada sidang media, Selasa. Dr Mahathir berkata, pakatan itu masih belum memutuskan logo yang bakal digunakan, dan akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.