suria

Stesen LRT Kelana Jaya Dibuka Semula Esok

KUALA LUMPUR: Stesen Transit Aliran Ringan (LRT)  Kelana Jaya akan dibuka semula kepada pengguna 6 pagi Isnin setelah ditutup berikutan beberapa kepingan bumbung stesen diterbangkan angin susulan hujan lebat dan angin kencang yang melanda Petaling Jaya pada Sabtu.

Prasarana Malaysia Berhad, dalam kenyataan pada Ahad berkata, sebahagian besar kerja membaik pulih bumbung di atas platform telah selesai sekitar jam 6 petang walaupun dihentikan sementara sewaktu hujan lebat di Kelana Jaya petang Ahad.

“Baki kerja-kerja membaik pulih bumbung stesen di bahagian atas landasan akan bersambung dalam beberapa hari ini selepas waktu operasi, setelah bekalan elektrik di atas landasan ditutup sementara untuk kerja membaik pulih bumbung.

“Justeru, para pengguna diminta mematuhi arahan dan notis yang ditampal di platform stesen,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian tengah hari Sabtu, hujan lebat serta angin kencang telah menerbangkan sebahagian bumbung stesen LRT Kelana Jaya.  

Berikutan itu, pihak pengurusan Laluan LRT Kelana Jaya telah menutup sementara stesen itu bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.

Sepanjang penutupan itu, bas perantara percuma disediakan untuk membawa penumpang dari Stesen Taman Bahagia ke Stesen Kelana Jaya dan sebaliknya manakala operasi di stesen-stesen lain di LRT Laluan Kelana Jaya berjalan seperti biasa.

Para pengguna diminta menyemak status terkini perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menerusi akaun media sosial facebook.com/myrapid atau twitter @MyRapidKL. - Bernama

LRT

Artikel Lain