KOTA KINABALU: Lapan belas orang malim gunung termasuk anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu bagi membantu malim gunung lain membawa semua pendaki turun secepat mungkin. Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Junaydie Sihan berkata ini bagi memastikan keselamatan mereka susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter yang menggegarkan Ranau pada 9.06 malam Khamis. “Buat masa ini, enam orang malim gunung bersama 12 anggota Mosar akan naik ke gunung untuk membantu malim gunung lain membawa semua pendaki turun malam ini juga,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagung seramai 130 orang pendaki Gunung Kinabalu yang berada di Laban Rata kini dalam proses untuk dibawa turun ke tempat lebih selamat susulan gempa bumi tersebut. Gempa ini merupakan yang terkuat selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang juga berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015. Gegaran kali ini dilaporkan turut dirasai di beberapa lokasi lain di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kundasang, Penampang, Tuaran, Kudat dan Kota Marudu. Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dalam tweetnya mengarahkan agar semua aktiviti pendakian Gunung Kinabalu digantung sementara berkuat kuasa serta-merta. Menurutnya arahan penggantungan sementara itu diambil atas nasihat Pengarah Taman-Taman Sabah demi keselamatan semua pihak. Kata Masidi, beliau telah mengarahkan agar semua pendaki dan pemandu pelancong agar segera kembali ke Ibu Pejabat Taman-Taman Sabah di Taman Kinabalu. - Bernama