suria

“Bila Dah Sayang, Muka ‘Pecah Rumah’ Pun Nampak Kacak” - Gadis Obses Pakwe Sendiri

PETALING JAYA: Gara-gara meluahkan perasaan mengenai dirinya yang terlalu obses dengan teman lelaki sendiri di laman sosial 'sehingga rasa nak menjerit', seorang gadis mendapat perhatian termasuk dikecam netizen.

"Normal tak kalau I obses dengan pakwe sendiri? Tolonglah, penatlah macam ni... susah nak handle pukul 2 pagi menjerit macam orang gila. Aku obses sangat!," katanya di Twitter pada pukul 2 pagi baru-baru ini sehingga tweet itu tular.

"Girls... you faham tak apa yang I rasa, contoh macam pakwe baru lepas potong rambut... ya Tuhanku, handsome tu jangan cakaplah. Lepas tu gila bayang sorang-sorang," katanya lagi dalam beberapa siri luahannya di Twitter.

Gadis berkenaan, Nur Balqish Safeeya Muhamad Amin, 22, ketika dihubungi mStar Online menjelaskan bahawa dia selama ini sering meluahkan perasaan secara peribadi di laman sosial itu yang hanya diikuti teman-teman rapat sebelum memutuskan mengubahnya kepada mod umum (public), dua minggu lalu.

Balqis bersama teman lelakinya.

Luahan oleh gadis yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dibuat selepas perbualan telefon bersama teman lelakinya berusia 21 tahun, yang lebih dikenali sebagai Mukhriz.

"Biasalah bila lama tak bercinta. Jadi, perasaan tu hanya kita yang tahu. Sebelum ni hanya kenal dan sekadar sebagai kawan sahaja.

"Saya cuma luahkan apa yang saya rasa tapi tak berani nak cakap yang dirasa itu bila berjumpa dengan dia. Bila berdepan, saya nampak tenang.

"Contohnya gambaran obses tu macam teruja sangat sampai nak hentak-hentak kaki, takkan nak buat macam tu depan dia kan. Saya perlu mengawal perasaan supaya tidak dianggap keterlaluan," katanya kepada mStar Online.


Bagi anak ke-13 daripada 14 adik-beradik ini, tidak salah sekadar mahu meluahkan perasaan yang terpendam selagi tidak mengganggu orang lain.

"Saya rasa bukan seorang yang buat macam tu tapi sebenarnya ramai lagi. Bezanya mereka lepaskan perasaan tu secara senyap-senyap, dan saya luahkannya di Twitter.

"Tapi tak bermakna saya perlu 'control ayu' bila berdepan dengan teman lelaki. Gerak-geri saya macam makan dan minum, cara berjalan seperti biasa. Hanya perasaan itu yang ditahan-tahan," kata Balqish.

Balqish berkata teman lelakinya tidak tahu tentang tweet yang dibuat tentangnya kerana tidak mempunyai akaun Twitter sehinggalah ia tular.

"Dia kata perasaannya terhadap saya pun macam tu, dia pun obses dengan saya cuma tak luahkan di Twitter," katanya.

Berkongsi kisah cintanya yang terjalin selama hampir dua tahun, Balqish tidak segan memberitahu bahawa dia sebenarnya yang mula menambat hati teman lelakinya yang berusia 21 tahun itu.


Tambah pelajar diploma jurusan perniagaan di sebuah kolej ini, mereka mula berkenalan selepas terlibat dalam satu penggambaran foto fesyen di mana dia menjadi salah seorang model dan kekasihnya sebagai jurugambar sambilan.

"Keperibadiannya yang begitu penyabar dan cukup disenangi membuatkan hati saya tertawan pada dia. Teman lelaki saya ni juga seorang yang sangat manja.

"Bagi saya dia seorang yang comel. Sebab itu saya pernah kata dia handsome. Percayalah, bila kita dah sayang seseorang... kalau muka dia macam 'pecah rumah' pun kita akan rasa dia lah yang paling handsome. Tapi dia memang comel pun," katanya secara berseloroh.

Bagaimanapun Balqish kesal dengan tindakan segelintir netizen yang hanya mahu mengecam dirinya yang bertindak meluahkan perasaan itu di Twitter.

"Nak luahkan perasaan di Twitter pun ada yang kurang senang dan iri hati. Dah macam tak ada privasi.

"Saya tahu kami masih muda dan belum berkahwin. Tapi daripada berkata yang bukan-bukan... kutuk itu ini, kan lebih elok mendoakan kami yang baik-baik agar hubungan kekal sehingga ke jinjang pelamin," katanya.

Obses, Teman Lelaki

Artikel Lain