suria

Pendaki Bukit Trans Gergin Kritikal Disengat Tebuan

SIMPANG PULAI: Seorang lelaki kritikal manakala dua lagi rakannya cedera disengat tebuan ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Trans Gergin berhampiran Agroto Jalan Cameron Highland awal pagi Ahad.

Seramai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian setelah mendapat panggilan daripada salah seorang daripada kumpulan berkenaan kira-kira jam 11.26 malam.

Ketua Operasinya, Rozmi Ahmad berkata, kumpulan pendaki yang terdiri daripada sembilan orang itu berdepan detik cemas apabila tiga rakan mereka disengat tebuan dan salah seorangnya pengsan.

Menurut Rozmi, dua daripada rakannya terpaksa keluar ke jalan besar untuk membuat panggilan kecemasan itu memandangkan kawasan hutan itu tiada liputan telekomunikasi.

“Anggota bomba dapat berhubung dengan Pegawai Renjer Hutan untuk membantu membawa mangsa turun sementara bomba tiba ke lokasi kira-kira 1.18 pagi.

“Sejurus bomba tiba, mangsa telah sedarkan diri namun kelihatan letih dan tidak bermaya diberikan rawatan awal sebelum dibawa menggunakan stretcher,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, keadaan gelap serta berbukit dan licin akibat hujan memberi sedikit kesukaran kepada anggota untuk membawa mangsa berusia 36 tahun itu turun bagaimanapun semuanya selamat tiba di kaki bukit berkenaan.

Rozmi berkata, operasi itu mengambil masa satu setengah jam dan tamat jam 2.30 pagi manakala mangsa bersama rakannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan selanjutnya.

tebuan, Bukit Trans Gergin

Artikel Lain