KUCHING: Seorang penumpang pesawat Malindo yang sedang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching meninggal dunia pagi Ahad. Timbalan Ketua Polis Daerah Supt Abang Junaidi Abang Anuar berkata mangsa, Wong Ho Huah, 46, dari Sri Aman yang juga penghidap kanser darah disahkan meninggal dunia kira-kira 11.10 pagi oleh penyelia penerbangan tersebut. Beliau berkata sepanjang penerbangan itu Ho Huah ditemani abangnya yang duduk bersebelahan dengannya dalam pesawat itu. “Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira 12.03 tengah hari sebaik pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Maong menuju ke tempat kejadian. “Siasatan awal mendapati kematian mangsa adalah disebabkan kanser darah yang dialaminya sejak lebih kurang dua tahun lepas. Kejadian juga tiada melibatkan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad. Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat. - Bernama