suria

Tolong, Nama Saya Helpmelah!

PORT DICKSON: Suami isteri ini nampak sama seperti pasangan lain, namun ada cerita menarik di sebalik nama mereka.

Md Helpmelah Jaafar, 43, dan isteri Norolhudainseroh Ismail, 33, masing-masing akan tersenyum sendiri apabila melihat reaksi individu lain yang akan mengerutkan kening kehairanan sebaik sahaja dimaklumkan tentang nama mereka.

Bapa kepada tiga orang anak ini, Md Helpmelah yang lebih dikenali sebagai Boy Pasar berkata, bapanya berasal dari Sarawak dan sengaja meletakkan nama tersebut kepadanya.

“Tapi nama adik beradik lain, tidak unik seperti ini.

“Sebenarnya, sejak dari sekolah lagi sehinggalah sekarang kawan-kawan panggil saya Boy Pasar, sebab tinggal di belakang pasar (Telok Kemang).

“Sekarang kalau orang cari Helpmelah, tak akan ada yang kenal,” katanya.

Helpmelah memberitahu, sewaktu di sekolah dek kerana namanya yang unik dan bermula daripada perkataan help membawa maksud tolong, jadi dia kerap menjadi pilihan guru untuk membuat kerja kelas.

“Bukan kerja berat pun, macam padam papan hitam dan tolong cikgu bawa buku. Seronok, itu saya ingat sampai sekarang,” katanya.

Helpmelah berkata, dia tidak mengikut jejak langkah ayahnya dalam memberi nama kepada tiga anaknya.

“Saya bagi nama anak yang biasa orang dengar, nama unik ni bagus juga, tapi letak nama mudah lebih baiklah,” katanya lagi.

Sementara itu, Norolhudainseroh berkata, dia tidak menyangka akan berjodoh dengan lelaki yang mempunyai nama unik.

“Kawan-kawan panggil saya Noni dan awalnya mengenali suami sebagai Boy.

“Satu hari tu, saya tengok kad pengenalannya dan baru tahu namanya unik. Saya tergelak sendiri.

“Ye lah, nama saya pun dah susah orang nak sebut, berjodoh pula dengan lelaki yang juga unik namanya,” katanya.

Norolhudainseroh berkata, sepatutnya dieja Nurul Huda Insyirah tetapi semasa bapanya mendaftar nama di balai polis berlaku sesuatu yang tidak diduga.

“Polis yang siapkan dokumen tu berbangsa India dan bila ayah sebut nama saya, maka polis itu menulis sedemikian, jadilah Norolhudainseroh.

“Sampai rumah baru mak perasan dan dah tak boleh nak buat apa, biarkan sahaja,” katanya. - Sinar Online

Artikel Lain