BENTONG: Dua puluh tiga penumpang termasuk 16 pelancong warga China cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 17.1 Jalan Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur, Jumaat malam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani berkata kemalangan berlaku pada 7.24 malam ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan turun daripada pusat peranginan tersebut. "Sebaik tiba di tempat kejadian brek bas berkenaan dipercayai bermasalah dan melanggar kereta Honda yang berada di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan. "Bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Beliau berkata kesemua pelancong asing berkenaan melibatkan 14 wanita dan dua lelaki, seorang pemandu pelancong serta pemandu bas warga tempatan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. Sementara lima termasuk pemandu kereta Honda berkenaan iaitu seorang lelaki serta empat penumpang wanita turut dihantar ke hospital yang sama. Gambar dari Facebook Deejay Nesh. Kesemua mangsa berusia 30 hingga 50-an itu dihantar ke hospital berkenaan dengan lapan ambulans milik bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan. Operasi menyelamat dilakukan 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dan APM Bentong. Seorang mangsa warga China Zhou Zhoxing, 56, bercakap melalui jurubahasa tempatan berkata beliau trauma dan tidak menjangkakan insiden berkenaan akan menimpanya yang dalam percutian selama lima hari di negara ini sebelum pulang ke China pada Sabtu. Menceritakan detik cemas itu, beliau yang cedera di kaki kanan berkata ketika kejadian cuaca amat baik dan terdapat penumpang yang sedang tidur. Beliau mendakwa bas berkenaan dipandu dalam keadaan berbahaya di selekoh sebelum terbabas dan melanggar sebuah kenderaan lain menyebabkan kesemua penumpang panik untuk keluar daripada bas. “Saya menolong penumpang lain dengan mengeluarkan mereka melalui pintu kecemasan bas sebelum ambulans tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, di sini, Jumaat malam. Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.