suria

Kek logo parti politik terhangat di pasaran

Wan Aziati (kiri) bersama pembantunya menunjukkan kek-kek berlogo parti politik yang menjadi pilihan utama pelanggannya.

PASIR MAS: Bahang PRU14 semakin hangat dan tempiasnya turut dirasai seorang pengusaha pastri apabila kek berlogo parti yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi.

Pemilik Kedai Kek Balkis, Wan Aziati Wan Hussin, 47, berkata, kek berlogo parti politik itu asalnya dibuat mengikut tempahan pelanggan sejak tahun lalu untuk program-program parti dan sambutan ulang tahun kelahiran.

Bagaimanapun katanya, permintaan terhadap kek tersebut semakin bertambah menjelang pilihan raya umum ini.

“Setiap hari ada sahaja tempahan daripada pelanggan yang nak kek berlogo parti politik,” katanya.

Menurutnya, kek tersebut dihasilkan dalam dua perisa iaitu vanila dan coklat.

Katanya, ia dijual dengan harga RM38 sekilogram bagi perisa vanila dan RM40 untuk perisa coklat.

Sejak pembubaran Parlimen 7 April lalu, Wan Aziati sudah menjual berpuluh-puluh biji kek berlogo parti politik di kedainya yang terletak bersebelahan Masjid Besar Bandar Pasir Mas.

“Kebanyakan tempahan diterima dari Pasir Mas, Tumpat dan kawasan-kawasan sekitar.

“Antara kek parti politik yang popular ialah Pas, BN dan PKR. Namun yang paling popular adalah Pas dan BN,” katanya. - Sinar Harian

Artikel Lain