suria

Tiga maut kemalangan di Lebuhraya Linkedua

JOHOR BAHRU: Tiga pemuda maut manakala tiga lagi cedera apabila dua kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 29.9, Lebuhraya Linkedua, dekat sini, 11.30 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabilapemandu kereta Honda Civic gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas sebelum melanggar besi tengah dan pembahagi jalan.

“Ia menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum pemandu dan penumpangnya, Muhammad Aseel  Habel Akbar, 21, dan Muhammad Safuan Sazali, 23, tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara  itu, seorang lagi penumpang Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, pula cedera.

Dalam masa yang sama, Dzulkhairi berkata sebuah lagi kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, dari arah belakang  telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan serta berpusing sehingga terbalik ke tepi longkang laluan berkenaan ketika cuba mengelak Honda Civic terbabit.

“Akibat dari kemalangan tersebut, Mohamad Ridzuan telah tercampak keluar dari kenderaannya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga  mangsa yang meninggal  dunia di tempat kejadian mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Dua lagi penumpang Perodua Bezza, dikenali sebagai Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishamuddin, 24, mengalami kecederaan.

Kesemua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Kulai.Dzulkhairi berkata kejadian berlaku dalam keadaan hujan di laluan lurus dengan persekitaran gelap.- Bernama

Kemalangan, Linkedua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain