suria

Poster Tun M: PH Negeri Sembilan akur arahan SPR

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akur dengan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya gambar Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad yang terdapat dalam poster-poster kempen pembangkang itu ditutup atau diturunkan.

Timbalan Pengerusi PH Negeri yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan itu dibuat bagi menghalang semua poster dan papan tanda kempen parti itu diruntuhkan SPR.

“Kita tak mahu mereka (SPR) runtuhkan papan tanda besar yang ada gambar calon kawasan itu bersama-sama Mahathir, jadi kita memutuskan untuk tampal (tutup) gambar (Mahathir) untuk elak perkara itu terjadi," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Pada 24 April lepas, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata suruhanjaya itu mengenakan syarat-syarat tambahan penggunaan bahan kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan aktiviti  kempen yang melibatkan parti-parti bertanding dapat dijalankan secara aman dan lancar serta tidak mengelirukan pengundi.

Antara syarat tambahan itu ialah dihadkan kepada gambar dua pemimpin utama parti politik iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik yang bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

Bahan  kempen tersebut boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti politik.

Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen yang sama hanya dihadkan kepada Presiden (atau setaraf dengannya), Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya), Pengerusi Perhubungan Negeri Parti (atau setaraf dengannya), Menteri Besar/Ketua Menteri dan calon (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).-Bernama

PH, Dr Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Lain