KOTA BARU: Seorang ibu terpaksa campur tangan dalam perbalahan politik membabitkan dua anak lelakinya. Balu bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut berkempen menentang anak sulungnya Nik Omar sebagai tanda sokongan terhadap anak keempatnya, Nik Abduh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Tuan Sabariah Tuan Ishak seolah-olah dilihat mahu calon Pakatan Harapan Nik Omar tewas di Chempaka manakala calon PAS yang mempertaruhkan anak keempatnya, Nik Abduh menang di Bachok. Beliau pada asalnya hanya mahu menumpukan kempennya di Bachok atas faktor kesihatan tetapi terpaksa turun padang bagi membantu calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood dan Ahmad Marzuk Shaary masing-masing memenangi kerusi DUN Chempaka dan Parlimen Pengkalan Chepa. Ini kerana Tuan Sabariah kecewa kerana gagal menghalang Nik Omar daripada bertanding menentang parti yang pernah diterajui suaminya. Susulan itu, beliau memutuskan untuk menyertai jentera Muslimat di sana, kata Nik Abduh dalam posting di Facebooknya. Bagi pihak keluarganya, Nik Abduh memohon maaf kepada jentera PAS di seluruh negara dan rakyat Malaysia berhubung keputusan abangnya untuk lompat parti pada hari penamaan calon. "Ia sesuatu yang amat sukar. Bonda memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya," kata Nik Abduh merujuk keputusan abangnya yang memilih untuk menyertai Pakatan Harapan. Tambah Nik Abduh, hati ibunya terluka akibat 'tembakan' yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu oleh seorang lelaki bernama Ikram, merujuk kepada keputusan Nik Omar untuk menyertai Ikram. Nik Abduh berkata ibunya juga terluka kerana Nik Omar memilih untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menahan salah seorang anaknya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lebih 15 tahun lalu. "Tun dan Ikram itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS," katanya.