KOTA BHARU: “Ambo tidak tinggal PAS, cuma ambo pilih Pakatan Harapan, sebab ambo yakin dalam situasi politik sekarang ini, Harapan lebih berdaya maju,” kata calon Dun Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz di Kadok disini. Menurutnya, beliau melihat Harapan lebih berdaya saing untuk menggantikan kerajaan sedia ada memandangkan gabungan yang ada dalam pakatan itu mempunyai kekuatannya sendiri. “Kita dalam bidang politik, kalau bersendirian, tidak mampu untuk menang banyak kerusi, apatah lagi untuk menguasai Malaysia. “Tapi dengan gabungan ini, Insya-Allah keempat-empat parti ini ada kekuatan masing-masing, jadi keyakinan dan situasi itulah ambo pilih Pakatan Harapan,”katanya. Anak bekas Mursyidul Am PAS yang mengejutkan semua pihak dengan keputusan bertanding atas tiket Harapan itu juga memberitahu, beliau sentiasa menghormati pandangan mana-mana parti gabungannya. “Kalaulah pimpinan PAS berkeyakinan dengan caranya, kita hormat, tapi untuk individu, ambo lebih yakin dengan Pakatan Harapan. “Macam kita berada dalam koperasi pertanian, kumpulan itu, ada padangan berbeza, seorang nak pelihara lembu dari baka siam. Seorang lagi nak ambil baka Australia. Akhir sekali keputusan diambil adalah baka siam. Sedangkan seorang lagi tetap nak pertahankan baka Australia itu. “Akhir skali dio pecat..jadi ambo bukan keluar daripada agama, tapi organisasi. Organisasi ini kekal. Ambo tidak keluar, tapi ambo dipecat, tidak ada masalah, kita sebut alhamdulillah,” jelasnya. - Sinar Online