suria

Nak pukat ikan jumpa Myvi

Mangsa dipercayai mati akibat terperangkap di dalam keretanya.

TUMPAT: Niat mahu mengangkat pukat tapi terlanggar kereta Perodua Myvi di dalam tali air di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu, di sini.

Lebih mengejutkan penjala ikan itu, terdapat mayat seorang lelaki di dalamnya, yang dipercayai maut akibat terperangkap di dalam kereta tersebut.

Mohd Faizal Shah Mohamed, 38, berkata, kira-kira jam 8 pagi tadi, dia turun untuk mengangkat pukat yang diletakkan, petang semalam.

“Petang semalam lagi ada kawan saya dah terlanggar dan tersentuh bumbung kereta ini ketika mahu tahan pukat.

“Mulanya dia sangka zink buruk yang terapung, bila dirabanya dalam air dia tersentuh sesuatu seperti cermin pintu kereta.

“Pagi ini dia bagi tahu saya, jadi sambil mahu angkat pukat, saya hampiri objek itu selepas bersihkan rumput hanyut yang menutupi kawasan kereta yang tenggelam itu,” katanya.

Menurutnya, selepas yakin itu sebuah kereta, dia memaklumkan kepada polis dan tidak sangka ada mangsa di dalamnya.

Sementara itu rakan mangsa, Tea Cheng Eng, 38, berkata, mangsa, Loo Thong Hong, 50-an, kali terakhir dilihat pada 30 April lalu.

“Sejak semalam lagi ahli keluarga mencarinya selepas kali terakhir melihatnya pada malam 30 April.

“Terkejut juga bila ada penduduk kampung jumpa kereta mangsa yang tenggelam di dalam tali air ini. Bila kecoh terjumpa kereta mangsa, saya datang sini dan memang benar itu kereta dia,” katanya.

Katanya, mangsa tinggal di Kota Bharu tetapi selalu ke kampung ini kerana rakan-rakannya ramai di sini, lagi pun dia pernah menetap di sini sebelum ini.

Operasi menarik kereta dan mengeluarkan mangsa dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Tumpat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. - Sinar Online

Myvi

Artikel Lain