MERU RAYA: Berpura-pura mengaji sementara menunggu waktu subuh, rupa-rupanya tangannya ligat memancing wang dalam tabung di Masjid Al Ansar, Halaman Meru Impian di sini, pagi Rabu. Tindakan lelaki itu disedari oleh Pengerusi Masjid, Muntaha Kamil Halid menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya setelah terjaga dari tidur kira-kira jam 4 pagi. “Saya tergerak hati untuk melihat telefon bimbit dan daripada CCTV itu, saya ternampak seorang lelaki sedang membaca al-Quran tetapi saya curiga apabila dia duduk di tepi tabung masjid. “Saya perhatikan lebih 5 minit sebelum terlihat tangan lelaki itu bergerak-gerak mengait wang dalam tabung itu. Tanpa berlengah, saya terus menghubungi balai polis,” katanya. Menurutnya, setibanya di masjid bersama pasukan polis, lelaki itu terus mengaku mencuri wang dalam tabung terbabit. “Namun, dia banyak kali meminta maaf dan berjanji tidak melakukannya. Dia kata itu perbuatan pertama kali dilakukan. Bagaimanapun, kita serahkan kepada pihak polis untuk lakukan siasatan. “Ini merupakan kejadian pertama berlaku selepas dipasang CCTV. Sebelum ini, ada juga kejadian sama tapi gagal dikesan melainkan hanya kesan-kesan dikopak sahaja,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek merupakan warga Kemboja berusia 31 tahun ditahan di tempat kejadian. “Setelah memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan ke atas suspek mendapati poket kanan terdapat wang campur-campur berjumlah RM160. “Dalam lipatan kain pelikat yang dipakainya menemui empat tali kabel yang berpelekat di hujungnya bagi tujuan pancing duit,” katanya. Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri. - Sinar Online